Anak siapa ni? Dua budak perempuan 12 tahun ditahan merempit
Operasi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di ibu negara menyaksikan dua budak perempuan berusia 12 tahun turut ditahan ketika sedang berlumba haram di Jalan Ampang dan Jalan Sultan Ismail semalam.
Lebih mengejutkan kedua-dua budak berkenaan didapati menyertai perlumbaan haram dengan menunggang motosikal yang telah diubah suai secara haram, termasuk pada bahagian ekzos dan sistem brek.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, dua kanak-kanak terbabit antara 38 penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi tersebut.
Menurutnya, ibu bapa kedua-dua Budak berkenaan telah dipanggil dan JPJ mempertimbangkan tindakan ke atas penjaga kerana membenarkan anak-anak mereka menunggang motosikal.
Beliau berkata, sebanyak 196 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan manakala 19 motosikal disita kerana didapati diubah suai struktur, enjin, dan ekzos.
Jelasnya, antara kesalahan paling banyak direkodkan adalah menunggang motosikal tanpa lesen sah dan pengubahsuaian jentera secara haram.
BACA JUGA Ini sebabnya MB Johor luluh hati, mangsa banjir terus meningkat lepasi 8,000 orang