Jangan jadi jaguh tunggang isu kuil di Masjid India – PM tegur

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pihak luar supaya tidak membuat tuduhan sewenang-wenangnya mengenai pemindahan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India.

Beliau berkata, ada pihak yang mahu menjadi jaguh dengan menunggang isu ini.

Katanya lagi, sebagai Perdana Menteri beliau tidak akan merobohkan mana-mana rumah ibadat milik kaum lain.

“Masalahnya ada penunggang agama termasuk peguam yang tidak pernah terbabit dalam kegiatan agama Hindu terus jadi jaguh dan buat kenyataan umpamanya nak merobohkan (kuil berkenaan).

“Saya tidak boleh bayangkan saya sebagai Perdana Menteri merobohkan mana-mana kuil ataupun kegiatan agama orang lain

“Jadi tidak bangkit sama sekali (merobohkan). Dirundingkan selama bertahun-tahun untuk cari jalan yang baik, supaya mereka dapat tapak yang sah dan diiktiraf. Mudahan-mudahan ia diselesaikan dengan baik dan saya harap tidak perlu ada respon yang kurang wajar,” katanya selepas solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA hari ini.

Anwar berkata, ketika ini pihak berkaitan sedang berunding dan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Menjelaskan lanjut, Anwar berkata tapak itu adalah milik swasta dan bukan hak milik kerajaan. Malah ketika kuil itu dipindah ke tapak berkenaan, ia dibuat tanpa permit sah.

Pun begitu untuk menjaga keharmonian semua pihak, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah pun mencari tapak ganti untuk kuil tersebut.

BACA JUGA Kerajaan salur Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 2 mulai 24 Mac ini