Padah terima rasuah percepat pemeriksaan kenderaan, ejen ditahan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan ejen sebuah pusat pemeriksaan kenderaan kerana didakwa menerima rasuah mempercepat proses pemeriksaan kenderaan tanpa mengikuti peraturan yang sah.

Lelaki berusia lingkungan 60-an itu didakwa menerima wang sogokan puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan nombor giliran bagi mempercepatkan proses pemeriksaan.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan reman lima hari sehingga 25 Mac 2025 terhadap suspek selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Menurut sumber, suspek dipercayai telah menerima rasuah kira-kira RM40,000 daripada pemilik-pemilik kenderaan yang ingin mendapatkan nombor giliran bagi proses pemeriksaan kenderaan di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan.

“Tangkapan terhadap suspek ini berdasarkan operasi yang dijalankan SPRM dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) membabitkan siasatan terhadap beberapa individu yang dipercayai terlibat sindiket ejen bagi mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan tanpa mengikuti peraturan yang sah,” katanya.

Sumber turut mendedahkan bahawa maklumat daripada Bahagian Penguatkuasa JPJ menunjukkan terdapat individu menyalahgunakan sistem tempahan Puspakom dengan membuat tempahan pukal menggunakan nombor kenderaan secara rawak.

Individu terbabit seterusnya akan menawarkan tarikh-tarikh tempahan yang telah dibuat kepada pelanggan dengan bayaran ratusan ringgit bagi setiap slot pemeriksaan sebelum membuat penjadualan semula tarikh untuk membolehkan permohonan baru dibuat ke dalam sistem.

“Modus operandi ini menyebabkan pelanggan biasa tidak dapat membuat tempahan slot pemeriksaan dalam masa terdekat berikutan slot telah ditempah sepenuhnya oleh ejen,” katanya.

BACA JUGA PM setuju beri duit raya RM500 kepada penjawat awam, RM250 untuk pesara