Telur ayam diseludup ke luar negara? Ini penjelasan Menteri Pertanian

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan bekalan telur ayam di negara ini kekal mencukupi dan stabil bagi memenuhi permintaan domestik.

Menurutnya menerusi kenyataan hari ini, kerjasama erat antara KPKM dan pengeluar telur tempatan memastikan tahap pengeluaran telur harian berada pada paras stabil dan memuaskan.

Penjelasan beliau itu susulan beberapa laporan media mengenai kenaikan mendadak harga telur ayam di Amerika Syarikat (AS) serta dakwaan kemungkinan berlaku penyeludupan telur ayam ke luar negara.

Beliau berkata, kementeriannya sentiasa melaksanakan pemantauan ke atas rantaian pengeluaran dan pengedaran telur ayam dari peringkat ladang hingga ke pengguna akhir bagi menjamin kestabilan bekalan.

“Langkah penguatkuasaan juga terus diperkukuh dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama agensi dan kementerian lain bagi memantau aktiviti pengeksportan bekalan makanan ke luar negara.

“Kerajaan melalui KPKM kekal komited memastikan keterjaminan makanan negara melalui dasar dan pelan tindakan strategik yang menyeluruh, termasuk usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan dan sokongan kepada industri agromakanan,” katanya.

Terdahulu, AS yang mengalami masalah kekurangan bekalan telur ayam serius dilaporkan sedang berbincang untuk mendapatkan bekalan telur dari negara luar selain mengimport telur dari Korea Selatan dan Türkiye.

Mengulas lanjut Mohamad memberitahu, pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia mengambil tindakan segera jika diperlukan demi memastikan kestabilan bekalan makanan negara sentiasa cukup dan terjamin.

Dalam masa sama, beliau menasihati rakyat agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas serta sentiasa merujuk maklumat sahih melalui saluran rasmi KPKM.

BACA JUGA Pakaian MB ketika bersama Anwar di Terengganu dapat sindiran tajam