800 golongan kurang mampu DUN Taman Medan terima baucar raya

FOTO BERITA: Program Serahan Baucar Jom Shopping Aidilfitri 2025 DUN Taman Medan bersama Tuan Halimey Abu Bakar Penyelaras DUN Taman Medan di Mydin Subang Jaya Selangor. 22 Mac 2025 (Sabtu)

Seramai 800 individu kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan menerima baucar Jom Shopping Aidilfitri bernilai RM200 hari ini.

Penyelarasnya, Halimey Abu Bakar, berkata inisiatif tahunan oleh Kerajaan Negeri ini bertujuan meringankan beban penerima dalam membuat persiapan raya.

“Kebanyakan penerima adalah baharu, tetapi ada juga yang menerima bantuan sebelum ini, bergantung pada keadaan mereka. Ada yang mempunyai suami lumpuh, anak ramai atau anak kurang upaya,” katanya selepas menyerahkan baucar di pusat beli-belah Mydin di sini.

Selain itu, sebanyak 21 surau menerima sumbangan RM2,000 setiap satu, manakala enam masjid dan surau solat Jumaat mendapat RM1,500, termasuk sumbangan kurma.

Kerajaan Negeri telah menyediakan 36,350 baucar Jom Shopping bernilai RM200 bagi edaran sempena Aidilfitri kali ini.

Menerusi Belanjawan Selangor 2024, kerajaan memperuntukkan RM12 juta untuk program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan, merangkumi pelbagai kaum.

Selain Aidilfitri, inisiatif bawah Iltizam Selangor Penyayang ini turut diberikan kepada keluarga kurang mampu bagi sambutan Tahun Baharu Cina dan Deepavali.






