‘Kita akan perjuangkan kebajikan, dunia seniman’
AMANAH telah memberikan kata dua bahawa ia akan memperjuangkan dasar yang memastikan kebajikan seniman dijaga dan ekosistem industri kreatif diperkukuhkan.
“Sebagai sebuah parti yang menjunjung nilai amanah, AMANAH percaya bahawa seni perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan,” kata pengerusi biro kesenian dan sukan, Wan Anwar Wan Ibrahim hari ini.
“Penggiat seni harus diberikan penghormatan yang sewajarnya serta sokongan yang berterusan agar karya mereka dapat terus berkembang dan memberi impak positif kepada negara.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan sempena Hari Seniman Malaysia yang disambut dengan tema “Seni Merentasi Budaya dan Generasi.
“AMANAH akan terus memperjuangkan dasar yang memastikan kebajikan para seniman dijaga, ekosistem industri kreatif diperkukuh, serta hak dan kebebasan berkarya dihormati.
“AMANAH juga percaya bahawa seni bukan sahaja boleh menjadi medium penting dalam mendidik dan menyampaikan nilai-nilai moral, malah membentuk minda masyarakat yang progresif serta berintegriti serta menjadi pemangkin kepada agenda pembangunan negara bangsa.
Wan Anwar berkata Malaysia perlu melahirkan lebih ramai tokoh seni seperti Allahyarham P Ramlee, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dan Siti Nurhaliza kerana mereka bukan sahaja akan mengangkat agenda pengukuhan bangsa tetapi juga menjadi duta yang membawa citra negara ke peringkat antarabangsa.
Selaras dengan itu beliau berharap semua pihak akan terus mendukung penggiat seni tempatan.
BACA JUGA: AMANAH mantapkan saluran komunikasi medsos sebagai persediaan ke arah PRU-16