Kontroversi kuil – masjid bukti reformasi diperlukan dalam tatakelola kerajaan

Kontroversi yang melibatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dan sebuah masjid yang bakal dibina membuktikan keperluan langkah reformasi dibuat dalam tatakelola kerajaan, kata setiausaha agung AMANAH, Faiz Fadzil.

“Isu ini memberikan pengajaran kepada pentadbiran kerajaan di semua peringkat samada persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan untuk memperkukuhkan tatakelola dengan sentiasa peka kepada pembinaan rumah ibadat yang perlu hakmilik berdaftar.

“Sepatutnya, setiap rumah ibadat perlu memperolehi hakmilik atau diberikan hakmilik bergantung kepada syarat dan kelulusan pihak berkuasa atau kerajaan.

Faiz mencadangkan agar undang-undang khas digubal dan ia dijadikan sebagai cabang utama Akta Perpaduan Kaum.

“Maka, satu reform perlu dibuat dalam tatakelola perkara ini termasuk pengubalan satu undang-undang khas, yang mana perkara ini boleh juga dijadikan sebahagian cabang utama Akta Perpaduan Kaum yang masih belum digubal sehingga kini.

Beliau menambah bahawa dalam keadaan sekarang, kedua-dua pihak berhak ke atas rumah ibadat tetapi prinsip Torrens System tidak akan menoktahkan polemik dan mengharmonikan rakyat Malaysia.

“Walau apapun penyelesaian yang ingin dirunding dan dicapai, kedua-dua pihak berhak ke atas rumah ibadat.

“Pihak syarikat yang membeli tanah tersebut secara sah mempunyai hak untuk membina masjid secara waqaf kerana ia adalah ibadat dalam Islam bagi mendekatkan diri kepada Allah.

“Jika isu ini dibawa ke mahkamah, sudah pasti prinsip Torrens System akan mengatasi di mana hakmilik tanah adalah segala-galanya dan perintah perobohan kuil tersebut boleh diberikan.

“Namun, adakah ia boleh menoktahkan polemik ini dan mengharmonikan rakyat dalam negara ini?”

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak menghina pengikut agama lain.

“Rahmah bukanlah bermaksud kita mengalah, tetapi mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengekalkan keamanan dan perpaduan kaum dalam negara ini sejajar dengan kehendak Islam.

“Dalam surah al-An’am: 108, Allah mencegah kita menghina agama lain, yang bermaksud “Dan janganlah kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau pula tanpa ilmu”.

Dalam perkembangan berkaitan Ahli Parlimen Tapah Datuk M Saravanan mengemukakan bukti bahawa kuil tersebut tidak dipindahkan dan bukannya bangunan haram sepertimana yang digembar-gemburkan di media sosial.

BACA JUGA: Illegal temple? Saravanan debunks the claim