Demi perkukuh, perkasa PKR, Ramanan bertanding jawatan naib presiden

Timbalan ketua penerangan 1 PKR Datuk Ramanan Ramakrishnan mengesahkan bahawa beliau akan bertanding untuk jawatan naib presiden PKR.

Beliau mengumumkan demikian untuk memperkukuhkan dan memperkasakan PKR dari akar umbi hingga peringkat pusat.

“Dengan rendah hati dan rasa tanggungjawab, saya ingin mengumumkan hasrat untuk menawarkan diri bertanding sebagai calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan kali ini,” umum beliau menerusi laman Facebook.

“Saya juga telah memaklumkan Presiden Parti YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Sungai Buloh.

“Sebelum mencapai keputusan untuk menggalas amanat sebegini penting ini, saya telah meluangkan masa berbincang dengan kalangan pimpinan, sahabat seperjuangan, serta anggota Keadilan di seluruh negara.

“Matlamat utama saya adalah untuk memperkukuhkan dan memperkasakan parti Keadilan kita dari peringkat akar umbi sehinggalah di pimpinan pusat.

“Semangat perjuangan harus seiring dengan gagasan Malaysia MADANI dan saya percaya bersama-sama kita mampu lakukan yang terbaik demi masa depan negara.

“Membujur lalu melintang patah. Reformasi!”

Ramanan adalah calon ketujuh yang mengintai kerusi naib presiden.

Empat naib presiden PKR yang terpilih sebelum akan mempertahankan jawatan mereka.

Mereka ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Selain itu bekas ahli parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan Menteri Komunikasi merangkap ketua penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil telahpun mengumumkan akan merebut jawatan naib presiden.

Pemilihan untuk jawatan kuasa sayap Wanita dan Pemuda di peringkat bahagian akan diadakan pada 11 hingga 20 April.

Pemilihan untuk Majlis Pimpinan Pusat dan ketua sayap Wanita serta Pemuda akan diadakan pada 24 Mei.

BACA JUGA: Kena saman polis tapi kerajaan yang dipersalah