Malaysia akan punyai angkatan tentera siber?

Kerajaan sedang mempertimbangkan samada ia perlu mewujudkan angkatan tentera siber.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata angkatan tersebut akan dilengkapi dengan kepakaran teknikal tinggi dalam bidang perisikan ancaman siber, forensik digital, pertahanan siber aktif dan respon kejadian.

“Keupayaan ini membolehkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sahaja bertindak balas terhadap serangan siber tetapi juga menghalang dan meneutralkan ancaman sebelum ia memberi kesan terhadap operasi ketenteraan dan keselamatan negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini kepada Senator Amir Md Ghazali.

Kementerian Pertahanan melalui Kertas Putih Pertahanan telahpun menetapkan hala tuju bagi menjadikan ATM sebagai angkatan masa hadapan yang lebih bersepadu, tangkas dan berfokus menjelang 2030.

Khaled berkata, ini termasuklah dalam menghadapi ancaman yang tidak dijangka iaitu ancaman keselamatan yang berlaku secara tiba-tiba dan sukar diramal, termasuk serangan siber, peperangan hibrid, serangan pengganas, penggunaan dron dalam peperangan, bencana alam dan konflik serantau.

“Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan Negara turut menyenaraikan bidang fokus yang kritikal untuk diteroka dan diberikan perhatian agar sektor pertahanan negara berupaya berhadapan dengan perkara seperti Cyber Warfare, Unmanned Warfare, Drone Warfare dan kimia, biologi, radiologi dan nuklear atau CBRN Warfare,” katanya.

“Untuk maklumat, kita kini memperuntukkan kira-kira 1.1 peratus daripada KDNK negara untuk tujuan pertahanan. Cadangan meningkatkan perbelanjaan pertahanan ini seiring dengan pendekatan negara jiran yang memberi keutamaan tinggi kepada sektor pertahanan bagi melindungi kepentingan negara yang berdepan cabaran semakin kompleks pada masa kini dan masa hadapan.

“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap keselamatan dan kedaulatan negara, terutamanya dalam menghadapi ancaman yang semakin kompleks dan dinamik dan dalam hal ini, kerajaan sentiasa menimbangkan untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan negara,” katanya.

BACA JUGA: 70,000 penjawat awam buat pinjaman peribadi demi hari raya