Remaja cedera parah dilanggar Hilux lepas cuba lari sekatan jalan
Seorang remaja cedera parah terlanggar sebuah pikap selepas cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya di Lebuhraya Kemuning – Shah Alam.
Difahamkan ketika kejadian, polis mengadakan sekatan jalan raya di lokasi berkenaan dan tiba-tiba sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang seorang lelaki membuat pusingan U secara berbahaya bagi mengelak melalui sekatan jalan.
Penunggang motosikal terbabit yang cuba melawan arus kemudiannya terlanggar Toyota Hilux dan diseret kenderaan itu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata siasatan mendapati pada 8 Mac lalu, anggota yang sedang membuat pemantauan sedang menahan motosikal terbabit tetapi tidak berjaya
“Menurut anggota Unit Rondaan Bermotorsikal (URB) yang sedang membuat pemantauan, pihaknya cuba menahan motosikal terbabit yang melawan arus dengan memintanya untuk berhenti tetapi tidak diendahkan dengan menyeberangi jalan menaiki pembahagi jalan secara berbahaya.
“Penunggang motosikal terbabit kemudian dilanggar dan diseret pikap Toyota Hilux,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Iqbal berkata, siasatan mendapati penunggang motosikal terbabit patah paha kiri, patah bahu kiri serta bahu kanan dan masih ditahan di wad Hospital Shah Alam hingga kini.
“Penunggang motosikal berumur 17 tahun, seorang pelajar Tingkatan 5 dan tiada rekod jenayah.
“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal melarikan diri kerana tiada lesen memandu dan cukai jalan motosikal tamat tempoh,” katanya.
Sebelum itu tular di media sosial rakaman seorang remaja lelaki lari dari sekatan jalan raya dan menunggang lawan arus sebelum dirempuh sebuah pikap baru-baru ini.
BACA JUGA Sebelum ini ajak boikot, sekarang ustazah ini kena sindir