3 Mac lagi McD dah siar ustazah yang ‘disegani’ akan bagi tazkirah

Hantaran Facebook McDonald’s Malaysia yang menguar-uarkan program tazkirah bersama penceramah, Asma’ Harun kembali tular.

Pemberitahuan itu dibuat pada 3 Mac, memaklumkan program tazkirah yang dianjurkan rangkaian restoran makanan segera itu akan diadakan pada 5 Mac.

“Salam Ramadan. Kami bawakan ilmuwan agama yang disegani Ustazah Asma’ Harun dalam program Kongsi Rezeki Ramadan.

“Tazkirah juga akan ditonton secara langsung di TikTok  dan YouTube McDonald’s Malaysia,” menurut pemberitahuan itu.

Hantaran tersebut kembali tular selepas Asma menafikan dakwaan beliau mempromosi Mcdonald’s ketika wajahnya terpampang dalam program anjuran syarikat makanan segera itu.

Kata Asma’, beliau hanya dijemput memberi ceramah di sebuah masjid di Shah Alam, sejurus selepas rombongan McDonald’s tiba untuk mengagihkan makanan percuma kepada jemaah yang hadir.

Beliau juga menegaskan tiada kaitan langsung dengan program McDonald’s.

McDonald’s sebelum ini memuat naik video TikTok ceramah Asma’ pada 5 Mac lalu, menunjukkan beliau berucap berlatar belakangkan sepanduk kempen “Kongsi Rezeki Ramadan”, tema promosi bulan puasa syarikat itu.

McDonald’s juga memuat naik video ceramah menampilkan beberapa pendakwah Islam ternama lain.

Sementara itu, pelbagai komen terhadap kenyataan Asma’ malam tadi turut mempersoalkan beliau atas kegagalan mengeluarkan penafian lebih awal, walaupun sebelum ini McDonald’s pernah mengumumkan namanya sebagai penceramah dalam program “Kongsi Rezeki Ramadan” dua hari sebelum acara itu.

BACA JUGA Asma jawab isu boikot, kempen program McDonald’s