Kata sepakat dicapai, kuil akan dipindah 50 meter dari lokasi asal – Dr Zaliha
Isu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berhampiran Jalan Masjid India diselesai dengan baik hari ini selepas pihak pengurusan mencapai kata sepakat
untuk berpindah ke tapak baharu berdekatan kawasan itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata tapak berkenaan terletak berhampiran kuil sedia ada dengan keluasan 4,000 kaki persegi.
Beliau memberi jaminan, rumah ibadat itu dibenar operasi buat sementara sehingga proses pemindahan selesai sepenuhnya dalam suasana yang harmoni.
“Pembangunan tapak baharu ini tertakluk kepada syarat pembangunan yang berkuat kuasa dan pihak kuil juga sudah bersetuju.
“Kerajaan juga mengulangi jaminan, tiada sebarang perobohan akan dilakukan ke atas struktur sedia ada.
“Kuil terbabit akan terus dibenarkan beroperasi seperti biasa sehingga proses pemindahan selesai sepenuhnya dalam suasana yang harmoni.
“Selagi urusan tanah yang ditawarkan tidak selesai, kuil boleh terus beroperasi di tempat sedia ada. Proses (penempatan semula kuil terbabit) sedang berlaku, kita perlu kemukakan pelan, kemudian ia akan diangkat ke Jemaah Menteri dan ini proses biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan jawatankuasa kuil terbabit bagi memuktamadkan perkara teknikal, hari ini.
BACA JUGA Ketegangan akhirnya mereda, pihak pengurusan kuil setuju berpindah