Ketegangan akhirnya mereda, pihak pengurusan kuil setuju berpindah
Kontroversi pemindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman akhirnya menunjukkan tanda-tanda reda hari ini apabila pihak pengurusan kuil menyatakan persetujuan untuk berpindah.
Setiausaha Jawatankuasa kuil, Kaarthik Gunaseelan berkata persetujuan itu dicapai semalam hasil perbincangan dan rundingan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencapai penyelesaian itu, sekali gus mengakhiri ketegangan yang berlarutan.
“Kami berterima kasih kepada menteri, wakil rakyat dan pihak berkuasa lain yang membantu mencapai resolusi ini.
“Tapak baru itu berdekatan dan dalam kawasan Jalan Masjid India, serta sesuai sebagai tapak alternatif,” katanya memetik Malaysiakini.
Karthik berkata satu mesyuarat antara jawatankuasa kuil dengan DBKL untuk memuktamadkan perkara teknikal akan diadakan petang ini dan pengumuman rasmi dijangka menyusul.
Pagi tadi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kontroversi tanah berhampiran Jalan Masjid India, Kuala Lumpur itu mesti diselesaikan dengan baik tanpa perlu mendengar dari penghasut.
Beliau menjelaskan bahawa cadangan projek pembinaan masjid di Jalan Masjid India telah diluluskan sejak tahun 2019 berikutan keadaan surau dan masjid di sekitarnya sudah padat.
Bagaimanapun, pihak tertentu dilihat tidak berpuas hati dengan beliau dan berterusan menyalahkannya.
BACA JUGA Tiga kelebihan yang Terengganu ada untuk jana hasil