Fitnah menteri terlibat rasuah, bekas wakil rakyat bagi alasan “saya forward sahaja”
Seorang bekas wakil rakyat yang didakwa menyebarkan mesej fitnah di WhatsApp kononnya Datuk Armizan Mohd Ali terlibat rasuah, memberi alasan bahawa dia hanya menghantar semula (forward) mesej yang diterimanya.
“Aku hantar saja. Forwarded many times (dikongsi banyak kali). Ada orang yang forwarded (hantar) sama aku. Cari dari mana asal cerita ni. bukan saya”.
Alasan itu diberi selepas Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan akan memulakan tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah.
Dua hari lalu Armizan memaklumkan terdapat dakwaan yang disebarkan menerusi media sosial yang mengaitkan beliau dengan aktiviti rasuah.
Beliau mendapati orang yang menyebarkan fitnah itu adalah bekas wakil rakyat yang menghantar mesej tersebut kepada pelbagai pihak yang kemudiannya merujuk kepada beliau.
“Sebagai bekas penggubal undang-undang, saya yakin beliau sewajarnya arif pertanggungjawaban dari aspek perundangan bagi tindakan “aku hantar saja”.
“Beberapa laporan polis telah dibuat, saya harap ada tindakan daripada pihak berkuasa.
“Beliau juga sebut “cari dari mana asal cerita ni”. Saya harap bekas wakil rakyat dapat bantu, saya memang sedang mencari sumber fitnah dan ‘pereka watak palsu Datuk Z’,” katanya di Facebook hari ini.
Dalam pada itu Ahli Parlimen Papar itu memberi peringatan bahawa penyebaran tulisan fitnah tanpa usul periksa atau kebenarannya adalah satu kesalahan undang-undang yang boleh dikenakan tindakan di mahkamah.
BACA JUGA Kakitangan Terengganu berganda, produktiviti ke laut