Rombakan Jemaah Menteri? Tiada keperluan

Ahli parlimen Shah Alam Azli Yusof menolak kemungkinan berlakunya rombakan Jemaah Menteri dalam waktu terdekat susulan spekulasi yang timbul ekoran pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP.

“Secara peribadi saya melihat tiada keperluan untuk Perdana Menteri melakukannya kerana jentera Kerajaan Madani ketika ini berfungsi dengan baik.

“Tambahan pula, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan pemilihan jawatan tertinggi, termasuk kerusi Presiden pada Mei depan.

“Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan rombakan kecil hanya akan berlaku kerana Perdana Menteri perlu melantik pengganti Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang bakal tamat tempoh sebagai Ahli Dewan Negara pada Disember nanti,” katanya, lapor Sinar Harian.

Mantan ahli parlimen Bangi Ong Kian Ming mendakwa rombakan akan berlaku memandangkan beberapa timbalan menteri dari DAP tidak bertanding atau tewas dalam pemilihan tersebut.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying gagal memperoleh kedudukan 30 teratas dalam sesi pemilihan tersebut.

Timbalan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi M Kulasegaran mengundurkan diri dari pemilihan untuk memberi laluan kepada barisan pimpinan muda.

BACA JUGA: Empat tahun lalu, lapan rumah ibadat bukan Islam dapat tapak ganti