LTAT umum dividen 5.25 peratus, tertinggi dalam tempoh 7 tahun
Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan kadar dividen yang tertinggi dalam tempoh tujuh tahun iaitu sebanyak lima peratus dan bonus 0.25 peratus bagi tahun 2024.
Jumlah agihan kali ini meningkat kepada RM514.20 juta berbanding RM485.08 juta yang dibayar pada 2023, menjadikannya jumlah agihan dividen tertinggi LTAT dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini.
Agihan itu memberi manfaat kepada 125,014 pencarum terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ia menggambarkan tahun ketiga berturut-turut LTAT mengekalkan dividen pada kadar 5 peratus mencerminkan pemulihan kukuh, prestasi mampan serta kestabilan dana.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pengumuman itu mencerminkan kestabilan dan keupayaan institusi terbabit untuk terus berkembang demi kesejahteraan pencarum.
“Ia menjadi satu simbol kepercayaan dan keyakinan Kementerian Pertahanan terhadap hala tuju LTAT, selain bukti bahawa setiap usaha yang dilaksanakan memberi impak nyata kepada pencarum.
“Saya yakin pengumuman ini akan membawa berita gembira kepada semua pencarum dan terus memperkukuh keyakinan anggota ATM bahawa simpanan persaraan mereka berada di tangan yang selamat dan bertanggungjawab,” katanya pada Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2024 hari ini.
Dividen bagi tahun kewangan 2024 akan dikreditkan ke akaun pencarum pada Jumaat, 28 Mac 2025.
BACA JUGA Warganet wujudkan FB ‘Rumah Ibadat Haram Dibina Di mana Hari Ini’