Firdaus Wong, awak bukan pendakwah, awak pemecah belah

Ahmad Mohamad Afandi

Tuan bukan pendakwah, tuan pemecah belah. Bila tuan mengkritik, tuan kalungkan keseluruhan kesalahan kepada sosok tubuh, seolah olah seluruh kaum penganut agama itu bermasalah. Sedangkan yang bermasalah itu hanyalah sekelompok kecil.

Tuan tidak membawa cerita damai sepertimana lazimnya sifat seorang pendakwah yang sentiasa fokus membawa mesej damai.

Bermula dari tuan menulis tentang isu ini, kemudian menyalahkan kerajaan secara keseluruhan, kemudian keluar andaian kerajaan beri wang, boleh dikatakan tuan sudah dihinggapi sindrom psikologi yang kita panggil sebagai Hubris Syndrome.

Sindrom ini, tuan mempertahankan kritikan tuan walaupun Menteri Wilayah Persekutuan mengeluarkan kenyataan menafikan andaian tuan. Posting yang dilampirkan ini jelas menunjukkan tuan bersungguh mempertahankan apa yang tuan kemukakan atas nama “pendakwah”.

Tidak hairanlah jika ada seorang dua dari penganut agama Hindu amat amat terasa dengan tuan sehingga terlepas amarah mereka menghantar mesej berbaur ugutan kepada tuan.

Jika tuan seorang pendakwah, kenapa ada dari penganut agama Hindu terasa hati dihiris dengan kata kata tuan? Kata kata menghiris dan mengguris adalah kata kata yang bukan dari akhlak seorang pendakwah.

Selalunya, dalam tulisan sebegini, penulis lain akan mengambil contoh contoh dari pentadbiran Saidina Umar al-Khattab, menunjukkan bagaimana pentadbiran yang mengikuti norma garis panduan Islam itu benar benar menjaga kebajikan masyarakat yang bernaung bawah payung satu negara.

Pun begitu, menurut teori Transactional Analysis, jika contoh yang kita beri itu, terlalu tinggi di mata pembaca, hati mereka akan terdetik kata kata merendah diri seperti, “Saidina Umar itu ahli syurga, sahabat Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, memang patutlah beliau menjadi sebegitu”.

Maka contoh itu tidak akan menjadi ikutan sebaliknya menjadi bahan yang dikagumi semata mata.

Jadi, sangat molek kita ambil Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai contoh pendakwah. Tahukah tuan, setiap kali Almarhum memberikan kuliah, penganut bukan Islam pun turut sama mendengar dan mengambil ilmu dari kuliah berkenaan?

Kalau setiap kali keluar dari mulut Almarhum itu, kata kata menghiris hati penganut agama lain, tak akan adanya diantara mereka yang sudi mendengar kuliah Almarhum. Inilah salah satu ciri pendakwah yang benar-benar menyatupadukan masyarakat.

Contoh paling dekat, tulisan saya sendiri beberapa hari lepas, yang mencapai sehingga hampir 30,000 perkongsian. Kalaulah dalam tulisan saya itu ada kata kata yang menghiris penganut agama Hindu, saya rasa dalam inbox saya sudah beribu ugutan menerjah masuk.

Saya juga mengkritik DBKL memberikan tanah ganti pada jawatankuasa kuil, beza saya dengan tuan, kritikan saya adalah pada tindakan DBKL, dalam bahasa psikologi, saya mengkritik ACTION.

Tidak ada dalam tulisan itu, kritikan yang dialamatkan kepada sosok tubuh, kepada kaum India dan kepada penganut agama Hindu. Saya tidak layak menjadi konsultan pemasaran apabila saya memberikan kritikan, saya tidak tahu bezakan antara ACTION dan PERSON.

Walaupun ada sahabat baik menjawab tulisan saya, tetap saya raikan kerana akhirnya, matlamat kita menjadikan negara ini aman dan damai didiami oleh semua manusia dan undang-undang menjadi alatan kerja dalam menegakkan keadilan kepada semua.

Cuma yang menyedihkan saya, mereka yang meninggalkan komentar di ruang komen tulisan saya itu banyak yang dilihat menghambur cercaan kepada keseluruhan penganut agama Hindu.

Tak kan sebiji pisang yang rosak, setandan pisang dihukum rosak?

Sedangkan yang bermasalah itu hanya sekelompok kecil yang mempergunakan agama Hindu demi kepentingan peribadi mereka.

Alah, sama macam sesetengah orang Melayu Islam di Malaysia lah. Dalam politik, sungguh sungguh kafirkan orang lain yang tidak sehaluan dengan mereka. Apa yang mereka buat, halal, bagus. Yang orang lain buat? Haram, ke neraka.

Akhir sekali, memang kritikan tuan tidak mempunyai apa apa kepentingan politik. Tapi, macam saya kata di perenggan atas. Walaupun kritikan tuan tiada unsur politik, orang politik berebut rebut menyambut kritikan tuan bagi digunakan semua dalam menyakinkan penyokong mereka bahawa kerajaan pimpinan DS Anwar Ibrahim sangatlah tak guna.

Semoga kita semua hidup aman damai hendaknya di Malaysia.

BACA JUGA: Untuk manusia bernama Firdaus Wong Wai Hung