Jabatan Kecemasan dan Trauma seluruh negara siap siaga, beroperasi dengan kakitangan penuh

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberi jaminan bahawa Jabatan Kecemasan dan Trauma di seluruh negara akan beroperasi sepenuhnya dalam keadaan siap siaga sempena musim perayaan Aidilfitri.

“Saya amat berterima kasih kepada kakitangan di jabatan-jabatan kecemasan seluruh negara, sama ada doktor, paramedik, pemandu ambulans, jururawat dan lain-lain atas pengorbanan mereka, khususnya yang berada di HSIS,” katanya sempena lawatan kerja ke Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) di Serdang semalam.

“Namun begitu, adalah penting untuk hospital kita, terutamanya Jabatan Kesemasan dan Trauma untuk beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh ini.

“Kesihatan dan keselamatan rakyat harus sentiasa dipelihara.

“Saya menyeru agar orang ramai menyampaikan penghargaan dan doa buat para petugas barisan hadapan kita, yang turut termasuk anggota polis dan bomba – yang terpaksa meninggalkan ahli keluarga seketika demi kepentingan awam,” kata Dzulkefly.

Musim perayaan adalah antara tempoh waktu paling mencabar untuk jabatan kecemasan dan trauma di semua hospital kerana pergerakan besar-besaran berlaku di seluruh negara. RIsiko musibah adalah tinggi dalam waktu sebegini.

Dr Dzulkefly turut meninjau operasi Smart Bed Monitor System (SBMSys) iaitu sistem digital unit pengurusan katil (BMU) yang dibangunkan oleh unit Teknologi Maklumat HSIS.

Fasa pertama SBMSys telah dilaksanakan pada September 2023, diikuti fasa kedua pada tahun 2024.

Sistem ini memantau pergerakan pesakit secara automatik dan memberikan maklumat terkini mengenai penggunaan katil, sekali gus memastikan setiap katil digunakan dengan lebih berkesan.

SBMSys yang boleh diakses melalui komputer dan telefon pintar turut dilengkapi dengan fungsi notifikasi yang membolehkan kakitangan hospital bertindak lebih pantas sekiranya terdapat perubahan terhadap keadaan pesakit atau status katil.

Ini memudahkan staf dalam membuat keputusan yang tepat, serta memastikan pesakit menerima rawatan yang cepat dan cekap.

BACA JUGA: Dividen ASB 2 5.5 sen, ASM 5 sen