‘Perjuangan demi ummah, agama dan bangsa bagaikan barang dagangan’
Perjuangan demi ummah, agama dan bangsa bagaikan barang dagangan, kata timbalan presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Kalau kita sayangkan ummah, UMNO dulu tidak berpecah dan mereka yang bercakap tentang penyatuan ummah itulah yang memecah-belah dengan keluar parti, mengkhianati parti untuk mencari haluan sendiri.
“Jadi jangan kita sewenang-wenang menggunakan perkataan ummah walhal mereka keluar UMNO menubuhkan parti lain untuk menggantikan UMNO,” katanya ditemui dalam majlis berbuka puasa semalam, lapor Sinar Harian.
“Jadi jangan kita memperdagangkan ummah. Kalau kita fikir tentang ummah kita takkan berpecah dulu.
“Saya harap yang penting ialah keikhlasan kita. Kalau betul-betul cakap pasal ummah, saya tidak ada masalah, yang penting kekuatan ummah itu dibina dengan keikhlasan dan bukan untuk kepentingan pihak tertentu.
“Kalau kita sayangkan ummah, dimana pun kita berada, perlu memberikan khidmat bakti terbaik dan bukan memecah-belah perpaduan sedia ada,” jelasnya.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada tawaran penyatuan Bersatu dan Umno yang dibuat oleh timbalan presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam rancangan Keluar Sekejap.
Mohamad menambah bahawa tindakan Bersatu yang melompat sebelum ini menyebabkan rakyat terkeliru hingga kecewa dengan parti politik.
” Banyak orang sekarang non-partisan dan orang yang berdiri atas pagar menunjukkan peratusan amat besar kerana sudah kecewa dengan parti-parti yang ada sekarang,” katanya.
BACA JUGA: Pas bercakap biarlah adil, jangan buat lawak