‘Terima kasih Dr Zaliha, selesai masalah dalam setahun’

Pengarah urusan Jakel, Datuk Faroz Jakel mengucapkan terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zaliha Mustafa kerana menyelesaikan isu pembinaan masjid di Jalan Masjid India dalam tempoh setahun.

Ini kerana isu ini telah berleretan lebih sepuluh tahun.

“Terima kasih kepada Dr Zaliha kerana beliau ambil tindakan dan nasihati kami. Tindakan tidak mengambil jalan undang-undang adalah keputusan Jakel sendiri kerana mereka juga ada penasihat undang-undang.

“Sebelas tahun kami menunggu. Tak wajar salahkan Dr Zaliha kerana tanpa pertolongan beliau kita takkan dapat pecah tanah hari ini dan masjid akan siap lagi dua tahun,” kata beliau sejurus selepas majlis pecah tanah Masjid Madani yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

“Kalau ikuti proses undang-undang, sepuluh tahun lagi belum tahu. Saya pun tak tentu lagi ada ke tidak. Mak saya pun mungkin tak ada lagi. Mak saya pun dah 75.

“Kita buat keputusan tepat dan saya ucapkan terima kasih YB Dr Zaliha menolong menyelesaikan isu ini dalam masa satu tahun, satu tahun setengah.

“Masjid akan siap dalam 24 bulan. Masalah akan selesai.”

Kuil Sri Dewi Pathrakaliamman telah dialihkan 50 meter dari tapak asal ke tanah milik kerajaan dengan taraf RIBI dan kos yang akan ditanggung oleh pihak Jakel untuk membolehkan Masjid Madani dibina.

BACA JUGA: Pasal kuil, tukang urut di negeri ini tergamak maki Menteri Wilayah