Ini dia penjelasan DBKL di atas penguatkuasaan terhadap penjaja belon tanpa lesen

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan bahawa pihak penguatkuasanya terpaksa mengambil Tindakan kerana kehadiran penjaja tanpa lesen di laluan pejalan kaki menghalang pergerakan orang ramai dan menyebabkan kesesakan.

“Seperti amalan biasa, DBKL akan memberikan teguran terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil. Penjaja tanpa lesen lain telah memberikan kerjasama dan beredar dari kawasan tersebut.

“Namun begitu, seorang penjaja belon enggan mematuhi arahan dan terus berniaga seperti biasa walaupun sudah diberi teguran sebanyak dua kali. Ketika teguran ketiga diberikan, penjaja belon tersebut bertindak agresif dan berlaku sentuhan fizikal apabila beliau menolak petugas penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.

“Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang dan menghalang kemungkinan insiden yang lebih serius, anggota penguat kuasa berpakaian preman bertindak pantas untuk menenangkan dan memisahkan penjaja terbabit daripada terus mengasari petugas penguat kuasa.

“Situasi menjadi tegang apabila beberapa penjaja lain cuba campur tangan, namun keadaan berjaya dikawal dan ditenangkan tidak lama kemudian.

“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah serta mengganggu ketenteraman awam.”

Pihak DBKL juga memberikan jaminan bahawa mereka akan menjalankan siasatan dengan semua anggota penguatkuasanya. Di samping itu, penambahbaikan prosedur operasi standard akan diteliti semula.

DBKL akan menjalankan siasatan lanjut dan mengambil keterangan daripada semua anggota penguat kuasa yang terlibat dalam insiden tersebut.

Sekiranya perlu, DBKL juga akan meneliti penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dalam Tindakan penguatkuasaan bagi memastikan sebarang perkara yang tidak diingini dapat dielak dari berlaku.

Satu laporan polis telah dibuat oleh penguatkuasa yang terlibat dalam kejadian ini.

BACA JUGA: Setiausaha politik Anwar sifatkan kejadian kasari peniaga belon perbuatan keji