Pengalaman berbuka puasa di awan

OLEH: Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri

Berbuka di Menara KL adalah satu pengalaman yang sangat istimewa, lebih-lebih lagi bila dapat menikmati hidangan sambil menyaksikan keindahan panorama kota raya dari ketinggian luar biasa.

Baru-baru ini, saya berpeluang berbuka di restoran bergerak terkenal di Menara KL bersama staf dan klien tersayang untuk meraikan mereka. Namun, hari itu sebenarnya agak “murung” bagi saya.

Rutin berbuka biasanya dimulakan selepas azan yang berkumandang di telefon bimbit atau TV.

Namun, di Menara KL, ada sesuatu yang ramai tidak sedar – waktu berbuka sebenarnya lewat tiga minit berbanding waktu biasa di darat!

Kenapa? Ini kerana ketinggian kita dari aras laut memberi kesan kepada waktu maghrib. Kerana ketinggian dari aras laut mempengaruhi waktu kita melihat matahari terbenam!

Di ketinggian, kita masih dapat melihat matahari sedangkan di bawah sudah terbenam!Sayangnya, pihak pengurusan pada malam itu tidak memaklumkan perkara ini dengan jelas kepada pengunjung, menyebabkan ramai di kalangan mereka sudah berbuka tepat selepas azan bergema dari gajet masing-masing.

Dua pengajaran besar

Bayangkan, hampir separuh pengunjung malam itu telah minum atau makan lebih awal daripada waktu sebenar.

Hakikatnya, mereka mungkin tidak sedar bahawa berbuka sebelum waktu yang sah (walaupun hanya beberapa minit) membuatkan ibadah puasa mereka tidak sempurna.

Saya, yang sudah tahu tentang perbezaan waktu ini, hanya mampu memandang dan mengingatkan diri untuk menunggu tiga minit tambahan sebelum berbuka.

Pengalaman ini memberi saya dua pengajaran besar:

  1. Sentiasa mengetahui perihal waktu berbuka di tempat-tempat luar kebiasaan. Restoran tinggi, bangunan pencakar langit, atau bukit dan gunung – semua ini mempengaruhi waktu maghrib.
  2. Bagi pihak penganjur atau pengurusan – sentiasa maklumkan kepada tetamu tentang waktu yang betul supaya pengalaman mereka tidak hanya indah di mata, tetapi sempurna dari segi ibadah.

Jadi, buat anda yang mahu berbuka di Menara KL atau mana-mana lokasi tinggi, semak waktu berbuka dengan betul. Jangan terburu-buru bila dengar azan dari telefon bimbit anda, kerana ketinggian lokasi boleh memberi impak. Kesabaran tiga minit itu lebih bernilai daripada mengorbankan kesempurnaan puasa kita.

Kalau anda belum pernah berbuka di “awan”, masukkan ini dalam bucket list Ramadan anda!

Kalau masih di KL.