50 anggota SMART berlepas ke Myanmar hari ini bagi misi kemanusiaan

Seramai 50 pegawai dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) telah bertolak ke Yangon, Myanmar hari ini bagi misi bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi yang menggegarkan negara itu kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir ke majlis pelepasan SMART ke negara jiran tengah hari tadi.

Ahmad Zahid berkata, beliau amat menghargai kesediaan dan keberanian pasukan SMART yang terdiri daripada 16 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 13 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 21 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Mereka diatur gerak ke Myanmar bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan yang terjejas teruk akibat bencana ini.

“Saya yakin pengalaman, kepakaran dan semangat tinggi yang dimiliki oleh pasukan SMART akan memberi impak besar dalam usaha menyelamatkan mangsa bencana ini.

“Saya berdoa agar setiap anggota yang terlibat diberikan perlindungan dan kekuatan untuk menjalankan misi ini dengan selamat dan berkesan,” katanya di Facebook hari ini.

Situasi di Myanmar ketika ini masih kritikal dengan lebih 1,600 nyawa terkorban.

Ramai lagi dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan, serta kemusnahan besar akibat gempa bumi berukuran 7.7 magnitud.

Menurut Ahmad Zahid, misi ini bukan sekadar bantuan, tetapi satu amanah kemanusiaan yang mendesak dan perlu disegerakan demi menyelamatkan seberapa banyak nyawa yang mungkin, terutama dalam tempoh 72 jam pertama yang amat kritikal.

Misi ini turut melibatkan pelbagai agensi dengan sokongan penuh Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri (NADMA) selaku agensi peneraju.

Koordinasi erat dengan Wisma Putra, Kementerian Pertahanan serta Angkatan Tentera Malaysia memastikan pasukan SMART bergerak dengan kelengkapan terbaik bagi menghadapi cabaran getir di lapangan, termasuk cuaca panas yang boleh mencecah 40°C, ketiadaan bekalan asas seperti air, elektrik, dan sistem telekomunikasi, serta jaringan jalan yang rosak yang boleh menyukarkan operasi penyelamatan.

“Malaysia akan terus memainkan peranan dalam membantu negara-negara yang memerlukan, selaras dengan semangat #1ASEAN1Response,” ujarnya.