Kerajaan beri jaminan bantu penjaja belon dapatkan lesen – Setpol PM

Kerajaan memberi jaminan akan membantu penjaja belon, Muhamad Za’imuddin Azlan untuk mendapatkan lesen penjaja apabila pulih dari kecederaan kelak.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, berkata bimbingan akan diberikan bagi membantu penjaja itu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk menyara kehidupan diri dan keluarganya.

“Kita sudah bagi jaminan, bahawa selepas pulih dia boleh jumpa saya untuk kita (MPN) bantu mendapatkan lesen penjaja,” katanya kepada media memetik Bernama.

Azman hari ini menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada Muhamad Za’imuddin, 29, yang sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Merujuk kepada keadaan Za’imuddin, Azman berkata laporan perubatan penuh akan dikeluarkan pihak hospital, namun Muhamad Za’imuddin yang masih terlantar boleh berinteraksi secara jelas dengan orang lain.

Azman yang turut bersimpati dengan keadaan mangsa bagaimanapun mengingatkan golongan penjaja mahupun anggota penguat kuasa untuk beroperasi dan menjalankan tugas mengikut lunas undang-undang ditetapkan.

“Cuma kebanyakan peniaga ‘rambo‘ ini, mereka tidak tahu cara mohon (lesen), sebab itu kita kena bekerjasama dengan persatuan penjaja atau lain-lain badan bukan kerajaan untuk bantu mereka yang menjaja ini termasuk DBKL, (untuk) bagaimana permudahkan mereka dapatkan lesen, tapi mesti di kawasan sesuai,” katanya.