Kebakaran di Putra Heights: Ini tuntutan AMH
Ketua penerangan Angkatan Muda Harapan Ammar Atan menggesa agar siasatan penuh dan bebas ke atas kejadian kebakaran paip saluran gas Petronas di Putra Heights hari ini.
“AMH menggesa agar siasatan penuh dan bebas dijalankan segera untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian ini. Jika terbukti berlaku kecuaian atau kegagalan sistem oleh mana-mana pihak berkepentingan – termasuk syarikat berkaitan – kami menuntut agar semua mangsa diberikan pampasan yang adil, menyeluruh dan segera.
“Pampasan ini mesti meliputi bukan hanya kerosakan harta benda, tetapi juga trauma fizikal dan emosi yang dialami oleh mangsa dan keluarga mereka.
“Tidak cukup sekadar simpati. Yang diperlukan sekarang adalah akauntabiliti dan tindakan berani untuk menegakkan hak rakyat.
“Kami juga menggesa pihak berkuasa dan syarikat yang terlibat untuk tampil secara telus, memberi penjelasan terbuka kepada orang ramai, dan memberikan jaminan bahawa komuniti yang terkesan akan dibantu dalam proses pemulihan dengan penuh keprihatinan dan profesionalisme.
AMH juga menyeru anak muda dan badan masyarakat sivil untuk turut serta menghulurkan bantuan kemanusiaan, sokongan psikososial dan solidariti kepada komuniti yang terjejas.
“Kejadian ini harus menjadi pengajaran besar tentang keperluan pengawasan rapi terhadap infrastruktur awam serta tanggungjawab sosial oleh pihak industri,” tambah Ammar.