Pengalaman sebagai penjaja jalanan berurusan dengan penguatkuasa
Mohd Addin Abdullah
Sebagai anak dan cucu kepada penjaja jalanan. Bahkan saya sendiri pernah mencuba untuk belajar menjadi penjaja jalanan. Saya bersama penguatkuasa DBKL dalam isu ini.
Pertama, soal budi bicara. Saya cukup yakin para penguatkuasa ini sangat penuh hikmahnya dalam menjalankan tugas.
Pengalaman peribadi saya sewaktu menjaja tanpa lesen di jalanan. Di datangi sekumpulan penguatkuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) untuk membuat tinjauan atas aduan yang diterima.
Saya diberikan sedikit nasihat agar tidak mengganggu lalu lintas, menjaga kebersihan, tidak meninggalkan barang selepas waktu berniaga dan berniaga di tempat yang lebih wajar. Saya sekadar mendapatkan amaran lisan tanpa disulami kata-kata kesat dan tindakan menyita barangan niaga diambil.
Kedua, soal permit dan lesen. Semua perkara perlukan usaha. Segelintir bebal dalam masyarakat menyatakan hendak memohon lesen tidak mudah. Siapa kata ianya sukar kalau tuan-tuan memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Sebagai contoh peserta bazaar makanan Ramadan mesti ada suntikan typoid tapi tuan-tuan berkeras ingin menjadi anti-vaks sejati. Tuan-tuan yakin permohonan lesen akan diterima? Sudah tentu tidak.
Pengalaman ibu saya memohon lesen penjaja daripada Majlis Daerah Simpang Renggam. Naik turun bahagian perlesenan hendak memohon permit tapi gagal kerana kawasan tersebut merupakan kawasan larangan berniaga sehinggalah seorang pegawai mencadangkan ibu saya bertemu dengan Yang Di-Pertua (YDP) MDSR untuk kemukakan rayuan. Alhamdulillah ibu saya berjaya mendapatkan lesen penjaja sementara.
Ketiga, soal layanan dwi-kasta. Katanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pilih kasih. Mereka berkeras dengan warga tempatan tapi bukan warga asing. Mereka tegas dengan Melayu tapi bukan dengan Cina.
Andai ini fitnah yang ditabur, beranikah saudara merangkak di hadapan Allah memohon maaf terhadap mereka?
Pernah sekali saya menyaksikan tindakan pecah dan roboh yang dilakukan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terhadap sebuah restoran Cina di Kota Damansara yang melakukan kesalahan menyimen lot parking untuk meletakkan kiosk-kiosk sewa untuk mendapatkan untung atas angin.
Tahu apa Ah So tu cakap?
“Ini majlis berani sama Cina saja. Sama Melayu lu orang takda kacau.”
Bahkan banyak sahaja operasi terhadap premis-premis niaga warga asing yang dilakukan tapi tetap orang kita juga yang bersimpati dan mengeluh terhadap tindakan PBT.
Kesimpulannya, kita menilai PBT (DBKL dalam isu ini) buruk ini dek kerana kebencian kita terhadap parti pemerintah, hasrat mendapatkan populariti politik, taksub perkauman secara membabi buta dan kejahilan kita dalam skop kerja mereka.
Semoga Allah ampunkan kebodohan kita yang ditonjolkan melalui jemari kita yang lebih tangkas daripada akal.