Ayat ‘budak KL’ balik raya di Kelantan ini buat ramai ‘pedih’

Tular klip video ringkas memaparkan seorang budak berbaju Melayu dikatakan dari Kuala Lumpur tegar enggan mencium pipi wanita yang sebelum itu memberinya duit raya.

“Orang kampung, saya tak nak kiss (cium),” kata budak berkenaan selamba berlalu pergi selepas beberapa kali didesak mencium pipi pemberi duit raya itu.

Sejurus itu, kedengaran gamat keadaan dalam rumah lantaran ahli keluarga berkenaan ketawa menyaksikan sikap dingin budak itu.

“Balik KL!” kedengaran seorang wanita bersuara selepas menyaksikan sikap kanak-kanak lelaki itu.

Namun, ramai menyifatkan sikap spontan kanak-kanak tersebut bukan perkara yang melucukan.

Warganet mengingatkan perlunya ibu bapa hari ini mendidik anak masing-masing mengenai adab dan berbudi.

“Tak rasa lawak pun. Nanti besar macam mana kalau tak dididik dari kecil,” tulis Shahrul Banie.

Hal sama turut ditegaskan pengguna Facebook Matyie Sbek yang berkata, “Bunga-bunga kurang ajar pada masa depan kalau tak diperbetulkan dari awal.”

Ada juga yang dilihat geram dengan gelagat biadab budak berkenaan termasuk Akim Hasnol yang berkata, “Kalau anak aku makan penampar dah cakap macam ni.”

Dalam masa sama, terdapat warganet yang menganggap penolakan kanak-kanak itu disusuli ketawa ahli keluarga sebagai gurauan dalam keluarga.

Oleh itu, netizen dinasihatkan tidak perlu ‘koyak’ memandangkan ibu bapa budak berkenaan pasti akan mendidik anaknya itu kembali agar tidak mengulangi perangai biadab itu lagi.

BACA JUGA ‘Kalaulah Pemuda lain buat mesti orang Pas dah label lagha, liberal…’