‘Jangan biadab nak maki anak angkat saya’, Steven Sim tegur penyokong Pas
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menempelak seorang warganet dipercayai ahli sebuah parti kerana memaki hamun anak angkatnya di media sosial.
Steven berkata, beliau tidak kisah jika dirinya yang dimaki hamun, tetapi bukan anak angkatnya yang datang daripada keluarga susah.
“Pembangkang nak maki hamun kat saya takpa, saya maafkan.
“Tapi jangan angkuh lagi biadab nak maki fitnah anak angkat saya dan keluarganya! Mereka orang susah, dah ditimpa musibah, berpolitik biar berpada-pada,” katanya dalam satu hantaran di laman X.
Beliau merujuk kepada video seorang penyokong parti pembangkang memaki hamun seorang remaja perempuan yang menjadi anak angkat Steven sejak September 2024.
Lelaki itu mendakwa Sim tidak menghulurkan bantuan kepada remaja terbabit yang ditimpa kemalangan sebaliknya dibantu Ahli Parlimen Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang menyumbangkan RM150.
Pun begitu pegawai Steven, Rosly Yusof menjelaskan bahawa gadis itu sebenarnya telah menerima elaun sara hidup bulanan sebanyak RM200 melalui program “Anak Angkat YB” dan berada di bawah jagaan berterusan sepanjang pengajiannya di Melaka.
Steven mengambil remaja itu sebagai anak angkatnya tahun lalu, dan berjanji untuk membayar yuran pengajiannya sehingga tamat, walaupun keluarganya menetap di kawasan parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang.
BACA JUGA Sah kontraktor projek pembinaan berhampiran lokasi kebakaran dapat kelulusan Petronas