Kabinet akan bincang bantuan tambahan buat mangsa kebakaran di Putra Heights
Mesyuarat mingguan Jemaah Menteri minggu depan akan membincangkan lanjut langkah bantuan untuk mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan komited menyediakan sokongan yang diperlukan buat mangsa, yang ada antaranya dilaporkan kehilangan hampir semua harta benda.
Menurutnya, langkah bantuan tambahan akan bergantung kepada penilaian kerosakan oleh pihak berkuasa.
“(Bagi mangsa yang kehilangan rumah) perdana menteri telah mulakan bantuan dan akan diikuti dengan bantuan-bantuan yang lain mengikut kadar (kerugian),” katanya kepada pemberita selepas menziarahi lokasi kejadian.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook yang turut melakukan lawatan hari ini berkata, mangsa yang kehilangan dokumen kenderaan mereka dalam kejadian itu boleh menggantikannya secara percuma di pusat pemindahan Masjid Putra Heights.