Kebakaran paip gas: Mangsa dakwa ada kerja pembinaan, pengorekan

Seorang mangsa kebakaran saluran paip gas bawah tanah di Putra Heights memberitahu bahawa pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah melakukan kerja-kerja pengorekan sebulan lalu.

Pengguna Facebook, Lim Kean Boon berkata, satu lagi kerja pengorekan dijalankan yang mungkin berkaitan saluran air atau sistem perparitan beberapa hari sebelum Hari Raya.

“Sehari sebelum kejadian, saya sendiri sempat melalui lokasi itu.

“Jentera JCB sedang beroperasi, dan saya diberi laluan untuk melintas. Selepas itu, mereka terus menggali,” jelasnya.

Beliau yang berpengalaman dalam bidang pembinaan berkata, pihaknya terpaksa mengubah laluan atau membina jambatan khas untuk melintasi paip gas asli milik Petronas.

“Majlis Bandaraya memang berperanan sebagai pihak berkuasa tempatan dalam meluluskan pelan bangunan.

“Namun, kelulusan itu harus merujuk kepada struktur rumah itu sendiri, bukan termasuk kerja-kerja melintasi saluran gas Petronas atau kabel serta longkang yang berkait rapat dengan infrastruktur kritikal negara,” tambahnya lagi.

Dalam hal berkaitan, projek pembangunan yang sedang dijalankan berhampiran lokasi kebakaran saluran paip gas bawah tanah itu dilapor mempunyai kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim, berkata projek itu tidak berada dalam Rizab Laluan (ROW) Petronas dan diberikan kelulusan serta kebenaran merancang (KM) pada 2022.

Menurutnya, projek tersebut melalui proses kelulusan yang sewajarnya, termasuk mendapatkan kebenaran daripada pihak Petronas untuk menggunakan ROW bagi laluan Indah Water Konsortium (IWK).

Selain itu, beliau berkata, kontraktor yang terbabit juga antara panel yang diluluskan oleh IWK dan Petronas.

BACA JUGA Sah kontraktor projek pembinaan berhampiran lokasi kebakaran dapat kelulusan Petronas