Kerajaan negeri Selangor berusaha menempatkan mangsa di lokasi lebih selesa dan sesuai

FOTO BERITA: Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama YB Najwan Halimi EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan berangkat ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, Puchong, Selangor. 2hb April 2025 (Rabu)

Kerajaan Negeri Selangor sedang berusaha mencari penempatan yang lebih sesuai dan selesa bagi mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights. Menurut Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, YB Mohd Najwan Halimi, pihak kerajaan negeri akan berbincang dengan pelbagai pihak termasuk syarikat minyak dan gas negara, Petronas, untuk memastikan penempatan alternatif yang lebih baik buat mangsa.

YB Najwan menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan mangsa yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Dengan sesi persekolahan yang akan bermula minggu depan dan ibu bapa yang perlu kembali bekerja, PPS mungkin tidak dapat menyediakan keselesaan jangka panjang yang diperlukan.

t”Saya akan berbincang dengan YAB Menteri Besar Selangor serta agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian terbaik demi kesejahteraan mangsa,” katanya kepada pemberita ketika melawat PPS di Dewan Masjid Putra Heights pada Rabu.

Sejak kejadian tersebut, pelbagai usaha telah dilakukan bagi memastikan mangsa mendapat bantuan yang sewajarnya, termasuk sokongan daripada pihak berkuasa tempatan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Beberapa cadangan turut dikemukakan, termasuk kemungkinan menempatkan mangsa di hotel atau rumah sementara yang lebih selesa sehingga kediaman mereka dapat dibaik pulih.

Dalam pada itu, Raja Muda Selangor turut berkenan untuk mendengar taklimat serta menziarahi mangsa bagi menyantuni mereka yang terkesan akibat tragedi ini. Lawatan baginda menjadi satu tanda keprihatinan terhadap kesusahan yang dialami oleh rakyat jelata.

Kerajaan negeri komited untuk mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan setiap mangsa dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik dalam tempoh pemulihan ini.



















