FOTO BERITA | Bantuan susulan untuk mangsa kebakaran sedang dipertimbangkan – Mohamad Sabu

FOTO BERITA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Dato’ Seri Mohamad Sabu, hari ini turun padang melawat lokasi kejadian kebakaran akibat kebocoran gas di Putra Heights serta menyantuni mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights. Subang Jaya Selangor. 3hb April 2025 (Khamis)

Lawatan beliau turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live Harapandaily membolehkan orang ramai mengikuti perkembangan terkini mengenai keadaan mangsa serta usaha bantuan yang sedang diusahakan oleh pelbagai pihak.

Mesyuarat mingguan Jemaah Menteri minggu depan akan membincangkan langkah tambahan bagi membantu mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menurut beliau, kerajaan komited dalam menyediakan sokongan yang diperlukan, terutama bagi mangsa yang kehilangan hampir semua harta benda akibat insiden tersebut.

“(Bagi mangsa yang kehilangan rumah), Perdana Menteri telah mulakan bantuan dan akan diikuti dengan bantuan-bantuan lain mengikut kadar (kerugian),” katanya kepada pemberita selepas menziarahi lokasi kejadian.

Beliau menjelaskan bahawa bentuk bantuan tambahan akan ditentukan berdasarkan penilaian kerosakan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Dalam kunjungan tersebut, Mohamad Sabu berkesempatan bertemu dan mendengar sendiri keluhan mangsa yang terjejas akibat insiden berkenaan. Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus berusaha menyalurkan bantuan sewajarnya bagi meringankan beban mereka.

“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan mangsa, dan pelbagai bentuk bantuan sedang diusahakan termasuk sokongan kewangan, tempat tinggal sementara serta kemudahan asas yang mencukupi,” katanya.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan, NGO, serta syarikat swasta yang tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran ini.

Lawatan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan mangsa terus terjaga serta memastikan segala bentuk bantuan dapat disalurkan dengan segera dan berkesan.

Insiden kebakaran paip gas di Putra Heights telah mengakibatkan kemusnahan besar termasuk kehilangan tempat tinggal dan kenderaan bagi sebilangan penduduk, dengan usaha bantuan masih giat dijalankan oleh kerajaan dan pihak berkaitan.