Polis sahkan memang ada kerja korek tanah di Putra Heights guna ‘backhoe’

Polis mengesahkan terdapat kerja-kerja pengorekan tanah berhampiran lokasi kebakaran paip gas bawah tanah di Putra Heights yang berlaku 1 April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan turut mengesahkan terdapat dua jentera yang digunakan di lokasi berkenaan iaitu backhoe dan excavator.

Bagaimanapun kata beliau, kerja-kerja pengorekan adalah untuk menggantikan paip kumbahan yang telah dihentikan operasinya dua hari sebelum insiden berlaku.

Katanya siasatan sedang dijalankan bagi menentukan sama ada aktiviti korek tanah tersebut mempunyai kaitan langsung dengan letupan paip gas yang berlaku.

“Memang ada aktiviti korekan tanah. Tapi kita masih siasat sama ada kerja-kerja itu menjadi penyebab kepada letupan atau tidak.

“Kita juga perlu tahu sejauh mana kedalaman dan jaraknya dari paip gas yang meletup,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Kata Hussein, kerja-kerja pengorekan dilakukan 30 meter dari kawasan kebakaran.

Beliau berkata, terdapat kemungkinan salah sebuah jentera itu terbenam ke dalam kawah besar yang terbentuk akibat letupan.

Disebabkan struktur permukaan tanah sedang tidak stabil, pihak berwajib sedang menjalankan kerja-kerja penstabilan sebelum siasatan lanjut boleh diteruskan.

Dalam pada itu, Hussien berkata, pihak polis telah mengenal pasti pemaju, kontraktor, subkontraktor serta pekerja yang terlibat dalam kerja-kerja terbabit.

Ketika ini siasatan melibatkan dua aspek iaitu dari sudut teknikal dan jenayah.

Siasatan teknikal dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), manakala siasatan jenayah dijalankan oleh pihak polis bagi melihat kemungkinan wujud unsur khianat atau kecuaian

Beliau berkata, setakat ini, seramai 56 saksi telah diambil keterangan, termasuk pekerja tapak binaan, kontraktor, serta mangsa yang berada di lokasi ketika kejadian.

“Antara saksi penting adalah seorang pengawal keselamatan yang berada kira-kira 30 meter dari pusat letupan, di hadapan deretan kedai baharu yang sedang dibina.

“Saksi itu turut cedera dan dilaporkan melihat sendiri kejadian berlaku dan kes disiasat sama ada ia melibatkan unsur khianat atau kecuaian,” katanya.

BACA JUGA Rakyat Malaysia diseru aktifkan kempen beli barangan Malaysia sebagai respon tarif Trump