Kagum peranan Malaysia, PM diundang beri ucapan khas di Shangri-La Dialogue 2025
Pengerusi Eksekutif International Institute of Strategic Studies Asia (IISS-Asia), John Miguel Warwick Chipman menyatakan kekaguman terhadap peranan Malaysia menyuarakan kepentingan sejagat serta ketegasan dalam hal-hal berkait situasi di Timur Tengah.
Perkara itu diberitahu Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kunjungan hormat John Chipman ke pejabat Perdana Menteri semalam.
Anwar berkata, John Chipman melihat peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 amat penting kerana hala tuju yang digerakkan pada tahun ini memberikan impak bukan sahaja kepada rantau Asia Pasifik, malahan ia mendapat perhatian dunia.
Justeru dalam pertemuan itu, Anwar telah diundang untuk memberikan ucapan khas sewaktu Shangri-La Dialogue 2025 pada 31 Mei nanti di Singapura.
“Undangan-undangan ini merupakan satu penghargaan kepada negara yang menterjemah pengiktirafan dunia terhadap peranan penting Malaysia.
“Penghargaan ini merupakan satu bentuk kejayaan Malaysia yang dihormati dunia,” katanya di Facebook.
Malaysia turut diundang untuk berperanan dalam IISS Manama Dialogue 2025 pada Oktober kelak.
Dalam pertemuan kedua-dua pemimpin itu, Anwar berkongsi aspirasi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 di mana keutamaan beliau adalah agar rantau ini aman, stabil dan makmur.
Ini supaya rakyat di negara-negara ASEAN dapat bergerak seiring ke hadapan, selain kepentingan hubungan akrab dengan pelbagai negara sebagai kunci utama untuk mewujudkan hubungan diplomatik yang utuh dalam berhadapan pelbagai cabaran global yang dinamik.
BACA JUGA Anak angkat Steven Sim murung jadi mangsa buli siber di TikTok