Mohamad berlepas awal pagi ke Myanmar bagi misi kemanusiaan
Memasuki hari kelapan gempa bumi dahsyat di Myanmar, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini memulakan lawatan ke negara itu bagi melaksanakan misi kemanusiaan.
Menurut Bernama, pesawat membawa Mohamad dan delegasi berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kira-kira jam 8 pagi tadi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Naypyidaw, Myanmar pada jam 9.30 pagi waktu tempatan.
Misi kemanusiaan itu diketuai bersama Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa, sekali gus memperkukuh semangat kerjasama rapat ASEAN dalam tindak balas kemanusiaan dan ia adalah manifestasi solidariti serantau serta sokongan kepada rakyat Myanmar.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dan Thailand mengetuai usaha berkenaan seperti dipersetujui pada Mesyuarat Khas Tergempar Menteri Luar ASEAN yang dipengerusikan Mohamad menerusi sidang video, pada Ahad lalu bagi membincangkan langkah susulan bencana yang menjejaskan Myanmar dan Thailand.
Terdahulu pada 28 Mac lalu, gempa bumi berukuran 7.7 magnitud melanda Myanmar sehingga menjejaskan negara jiran, Thailand.
Setakat semalam, jumlah kematian akibat gempa bumi di Myanmar meningkat kepada 3,145 orang, dengan 4,589 cedera dan 221 lagi dilaporkan hilang.
BACA JUGA Anak angkat Steven Sim murung jadi mangsa buli siber di TikTok