Pemilik mula lelong banglo di Putra Heights pada harga RM3.33 juta

Sebuah banglo mewah dua tingkat dilengkapi kolam renang di Putra Heights kini dilelong pada harga RM3.33 juta, separuh daripada harga asal.

Pemilik membuat keputusan berani tatkala orang ramai masih bimbang dengan kesan dari letupan dahsyat yang berlaku awal April lalu.

Menerusi hantaran di laman Facebook KL Selangor Lelong Properties, banglo berstatus pegangan bebas dengan keluasan 1,449 meter persegi itu kini memasuki pusingan lelongan ketujuh dan dijangka akan diteruskan sehingga hujung bulan ini.

Namun, hasrat pemilik untuk menjual kediaman terbabit mengundang pelbagai reaksi daripada warganet di Facebook, yang rata-ratanya menganggap keputusan itu berisiko tinggi
Ramai menjangkakan usaha menjual banglo tersebut akan semakin sukar, bahkan jika dijual pada harga RM1 juta sekali pun kemungkinan tidak akan ada pembida.

Mereka berkata, nilai hartanah di kawasan itu akan jatuh lebih buruk selepas ini berikutan kebimbangan terhadap aspek keselamatan, malah ada yang menganggap kawasan tersebut tidak lagi sesuai untuk didiami.

Pihak penganjur lelongan pula hanya memberikan jawapan bahawa rumah tersebut “sebaris” dengan kawasan kejadian berdasarkan semakan imej satelit, apabila ditanya mengenai jarak sebenar rumah itu dengan lokasi insiden. 

BACA JUGA Agong naik Proton Satria lawat lokasi kebakaran