Pesawah dapat bantuan khas RM90 juta

Sebanyak RM90 juta bantuan khas pesawah disalurkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), sebagai usaha membela nasib dan kebajikan pesawah miskin.

Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menerusi kenyataan hari ini berkata, peruntukan khas fasa pertama sebanyak RM60 juta disalurkan secara berperingkat, manakala baki RM15 juta sudah selesai disalurkan pada 5 Mac lalu.

Bernas berkata, peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga selesai disalurkan 28 Mac lalu.

“Peruntukan khas itu adalah wang ihsan syarikat Bernas dan bukannya dana awam,” jelasnya.

Sehubngan itu, Bernas memaklumkan ia tertakluk kepada tadbir urus kewangan korporat yang ketat dan pematuhan kewangan dalaman untuk kelulusan sebelum dapat disalurkan kepada kerajaan.

Dalam masa sama, Bernas berkata, pihaknya kekal komited terhadap pelan tindakan jangka panjang KPKM dengan mengutamakan kebajikan pesawah bagi menjamin ketersediaan produk dan mendukung agenda keterjaminan makanan negara.

BACA JUGA MP Sepang sedia bantu, terima 116 keluarga mangsa letupan saluran gas Putra Heights