Jangan terheret dengan isu sensasi di media sosial, PM Anwar peringatkan warga JPM
Kakitangan awam diingatkan agar tidak terheret dengan sesetengah isu yang disensasikan di media sosial.
Mereka sebaliknya perlu fokus terhadap isu-isu besar yang didepani negara.
“Kadang-kadang kita terheret oleh media sosial kerana sensasi, seolah-olah perang akan berlaku. Soal kuil, perang. Soal belon, perang; padahal boleh kita atasi dengan baik.
“Sebab itu saya syorkan, jangan beri ruang kerana sesetengah orang bebal tak fikir yang umum. Semuanya mahu dipolitikkan. Semuanya mesti dengan cara menghukum. Tak setuju dengan kita, semuanya kafir dan munafik. Semuanya jahat belaka,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis perjumpaan dengan warga Jabatan Perdana Menteri pagi ini.
“Tak boleh begitu. Negara ini memang betul, tunggaknya Melayu. Bukan sahaja tunggaknya, dijamin dalam perlembagaan. Kedudukan Kerajaan Madani dan Majlis Raja-raja.
“Tidak boleh dimungkiri kenyataan ini tetapi tidak bermakna sentiasa harus ada kenyataan dengan golongan minority, suku lain, kaum lain, mesti terus menghina sahaja. Itu tidak boleh.
“Ia tidak pernah menjadi asas dalam ajaran agama kita. Mau angkat martabat Melayu ini, dengan kekuatan, kesungguhan, amal, ikhlas, keperibadian kita.”
Dalam sebulan lalu isu pemindahan Kuil Sri Dewi Pathrakaliamman di Jalan Masjid India menyebabkan ketegangan kaum di media sosial sehingga ada yang mahu memerangi masyarakat India yang merupakan minority di Malaysia.
Isu belon pula merujuk kepada kes seorang penjual belon tidak berlesen yang dikasari oleh penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Terdahulu, Anwar mengingatkan warga JPM bahawa tumpuan sewajarnya perlu diberikan kepada usaha meningkatkan prestasi kerja
Warga JPM juga disarankan cakna dengan perkembangan semasa seperti pengenalan tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat terhadap Malaysia dan juga usaha-usaha kerajaan untuk memperkasakan rakyat menerusi kecerdasan buatan.