PM ajak ASEAN sepakat perkukuh ekonomi tangani impak tarif AS
Perdana Menteri akan memberi penekanan terhadap keperluan negara-negara Asean untuk membentuk satu kesepakatan dalam mengukuhkan lagi soal ekonomi dan perdangan di rantau ini.
Menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, dimaklumkan Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN Ke-12 (AFMGM) bermula minggu ini.
Kira-kira 300 delegasi terdiri daripada Menteri Kewangan ASEAN, Gabenor Bank Pusat, pegawai daripada Institusi Kewangan Antarabangsa dan wakil sektor swasta akan menghadiri AFMGM yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sehingga 10 April ini.
Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan akan bertemu dengan para pelabur ASEAN dan menyampaikan ucaptama di Persidangan Pelaburan ASEAN esok.
Selain itu, Perdana Menteri akan memanjangkan perbincangan yang diadakan bersama ketua-ketua negara ASEAN tempoh hari terkait isu tarif Amerika Syarikat (AS) yang mana perkara ini memerlukan perbincangan dan rundingan yang menyeluruh bagi membawa suara komuniti ASEAN.
“Berhubung impak geoekonomi susulan pengumuman tarif AS, Perdana Menteri sekali lagi mengingatkan tentang langkah proaktif yang telah, sedang dan bakal diambil berasaskan kepada pendekatan ‘whole-of-nation’,” menurut kenyataan itu.
Berikut antara langkah yang telah dan akan diambil oleh kerajaan termasuklah:
1) Pengaktifan semula Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri;
2) Penubuhan pasukan petugas oleh MITI untuk mendapatkan maklum balas langsung daripada industri;
3) Mesyuarat khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang akan dipengerusikan oleh YB MITI;
4) Rundingan strategik peringkat tertinggi secara langsung dengan Amerika Syarikat (AS);
5) Memperluas dan mempelbagaikan pasaran eksport Malaysia ke rantau-rantau serta blok ekonomi baharu;
6) Meningkatkan penggunaan perjanjian perdagangan bebas sedia ada dan baharu.
Dalam masa sama, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan langkah-langkah tersebut akan memperkukuh daya tahan negara, menstabilkan pasaran, dan melindungi pekerjaan serta pelaburan rakyat.
“Walaupun lanskap ekonomi dunia sedang berhadapan dengan situasi sukar, YAB PM sekali lagi mengingatkan daya tahan ekonomi Malaysia kuat, berupaya menampung gelombang ini untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
“Yang penting, kesemua sektor perniagaan dan rakyat Malaysia perlu bekerjasama dengan pendekatan senegara bagi menjamin kesejahteraan sosio-ekonomi kita,” jelasnya.
Sehubungan itu, kerajaan Madani akan melipat gandakan komitmen memelihara dan memastikan akses pasaran tidak terjejas, selain terus menarik pelaburan asing, meneruskan agenda reformasi ekonomi dan industri bagi menyokong rantaian bekalan, serta kesejahteraan pekerja serta perniagaan di negara ini.
BACA JUGA Perwakilan DAP tidak masalah pilih calon Melayu