Serahan Tunai Bantuan YAB Perdana Menteri Kepada Mangsa Kebakaran Paip Gas di Subang Jaya

FOTO BERITA: Majlis Penyampaian Sumbangan YAB Perdana Menteri yang disempurnakan oleh YBhg Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri di Dewan Masyarakat, Jalan Besar, Kampung Bukit Lanchung, 40400 Subang Jaya, Selangor. 7hb April 2025 (Isnin)

Mangsa kebakaran paip gas yang menggemparkan penduduk Subang Jaya baru-baru ini menerima bantuan tunai khas daripada YAB Perdana Menteri dalam satu majlis serahan rasmi yang berlangsung di Dewan Masyarakat Subang Jaya, hari ini.

Program serahan bantuan itu disempurnakan oleh YBhg Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri. Dalam ucapannya, beliau merakamkan ucapan takziah dan simpati mendalam kepada semua mangsa mewakili YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan isteri beliau, YBhg Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“Pertama sekali, izinkan saya menzahirkan ucapan takziah kepada semua mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran paip gas yang telah mengejutkan kita semua. Bagi pihak YAB Perdana Menteri dan isteri, kami menyampaikan salam takziah dan simpati yang mendalam kepada semua keluarga dan individu yang terkesan,” ujar beliau.

Datuk Azman turut memaklumkan bahawa YAB Perdana Menteri sendiri telah turun padang ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan bagi melihat sendiri keadaan di lapangan serta mengarahkan tindakan segera daripada agensi-agensi berkaitan.

Bantuan tunai segera yang disalurkan hari ini merupakan peruntukan khas daripada Jabatan Perdana Menteri. Bagi mangsa yang kehilangan tempat tinggal secara keseluruhan, mereka akan menerima bantuan tunai sebanyak RM5,000 seisi rumah. Sementara itu, mangsa yang mengalami kerosakan separa akan menerima RM2,500 bagi setiap kediaman yang terjejas.

“Bantuan ini bukanlah penyelesaian menyeluruh kepada semua kerugian, namun ia diharap dapat meringankan beban harian yang sedang ditanggung dalam tempoh yang sukar ini,” katanya.

Dalam ucapannya juga, Datuk Azman mengalu-alukan penglibatan syarikat-syarikat swasta yang telah tampil memberikan bantuan dan menyeru lebih banyak pihak untuk menyertai usaha bantuan kemanusiaan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Majlis tersebut, turut dihadiri oleh wakil-wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan beberapa syarikat swasta yang menyumbang dalam bentuk barangan keperluan asas serta sokongan logistik.

Akhir ucapannya, Datuk Azman menyeru orang ramai untuk terus berdoa agar segala urusan mangsa dipermudahkan dan mendoakan kesembuhan buat mereka yang mengalami kecederaan.

Sebelum majlis penyampaian sumbangan YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor sempat hadir bertemu dengan mangsa kebakaran saluran paip gas di Dewan Masyarakat Kg. Bukit Lanchung

YBhg Encik Mohd Azmi Jusoh (kiri) Ketua Parti Amanah Negara Kawasan Kota Raja mewakili Ahli Parlimen Kota Raja YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan