Syahredzan anggap kunjungan Adun Pas ke kuil tidak perlu dipolemikkan
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan melihat tindakan seorang wakil rakyat Pas yang melawat kuil bukanlah sesuatu yang perlu dipolemikkan.
Beliau memilih untuk tidak memainkan sentimen perkauman dalam isu ini seperti yang seringkali dimainkan oleh pembangkang.
Beliau secara rasional berkata, apa yang dilakukan oleh Adun Semenyih, Nushi Mahfodz sememangnya sebahagian daripada tanggungjawab seorang wakil rakyat.
“Kehadiran seorang wakil rakyat Muslim ke rumah ibadat bukan Muslim seperti kuil, tokong dan gereja sudah tentu bukan untuk mengikuti ritual keagaman, tetapi untuk menyantuni rakyat di kawasan tersebut yang telah menjemput wakil rakyat mereka.
“Wakil rakyat harus mewakili semua kaum dan agama, bukan hanya komunitinya sahaja,” katanya dalam satu ulasan di Facebook.
Beliau mengulas isu yang sedang diperkatakan ramai tentang Adun pembangkang itu yang melawat kuil sehingga terlihat seolah-olah mengikut ritual keagamaan Hindu.
Dalam kunjungan ke kuil Arulmigu Dewi Sri Karumariamman Alayam di Kajang, Nushi dilihat memakai kalung bunga dan ponnadai, yang kemudian mengundang kecaman beberapa pihak.
Syahredzan berharap dengan episod wakil rakyat pembangkang melawat kuil ini, ia dapat menoktahkan polemik yang sering dimainkan penyokong blok itu tentang lawatan mana-mana wakil rakyat ke rumah ibadat bukan Islam.
Menurutnya, wakil rakyat Pakatan Harapan juga sudah sering dikecam dan dicerca jika menyantuni rakyat di rumah ibadat bukan Islam.
“Beberapa pemimpin Pakatan Harapan yang menyantuni rakyat di rumah ibadat bukan Muslim sebelum ini telah dikecam dan dicerca oleh sesetengah penyokong parti politik pembangkang, termasuklah YAB Perdana Menteri sendiri.
“Malah, saya sendiri juga pernah mengalaminya. Jangan pula bila pemimpin belah lawan buat, jadi salah, tetapi bila pemimpin anda buat, boleh pula. Mari sama-sama kita berpolitik dengan matang,” katanya lagi.
BACA JUGA Seru pemimpin parti tidak menghasut sebar kebencian, penyokong Pas pula ‘naik angin’