Kepedulian Malaysia terhadap Syria

OLEH SENATOR DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memulakan inisiatif baharu dengan Syria pasca regim Assad dengan membuat panggilan telefon mengucapkan tahniah ke atas Presiden Ahmed al Sharaa atas kejayaan membentuk kerajaan barunya.

Perdana Menteri Malaysia itu turut menjemput Ahmed al Sharaa mengunjungi Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala.

Hakikatnya hubungan Malaysia dan Syria bermula sejak 1958 lagi ketika masih bernama Malaya, hubungan lebih kepada hubungan kebudayaan dan agama serta pendidikan.

Malaysia sebagai sebuah negara awal yang menyertai Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) mempunyai hubungan yang rapat dengan Mesir yang juga merupakan sekutu kuat kepada Syria.

Malaysia turut aktif dalam Pertubuhan Negara Islam OIC dan berkongsi sentimen menentang pencerobohan Israel ke atas Syria dan Mesir sehingga mencetuskan Peperangan Arab-Israel tahun-tahun 1948, dan perang 6 hari 1968.

Hanya pada tahun 2001 Syria menubuhkan Kedutaannya di Kuala Lumpur manakala Malaysia menubuhkan Kedutaannya di Damsyik pada tahun 2002.

Presiden Syria ketika itu Bashar telah mengunjungi Malaysia tahun 2003 dan diikuti dengan kunjungan balas Yang Dipertuan Agong Tuanku Syed Sirajudin Jamallullail pada tahun yang sama.

Malaysia menawarkan hubungan dua hala pendidikan, pertanian dan teknologi kepada Syria sambil kedua-dua negara kekal berkongsi sentimen menentang keganasan Israel ke atas Palestine di pentas antarabangsa.

Pelajar Malaysia banyak mendapat manfaat hubungan baik ini dengan kedatangan pelajar-pelajar Malaysia menuntut di pusat-pusat pengajian di Syria sebelum melanjutkan pelajaran ke Mesir atau negara Arab lainnya.

Syria antara destinasi selain Mesir yang menawarkan kualiti keilmuan khususnya di bidang syariah. Pelajar Syria juga ditawarkan untuk belajar di Universiti di Malaysia khususnya di Universiti Islam Antarabangsa.

Hubungan ini sedikit terjejas dengan cetusan Arab Spring dan ketidaktentuan suasana dalaman Syria dan bahang perang teluk dan perang di Palestine.

Sejarah hubungan kebudayaan dan agama nama Syria sering dikaitkan dengan zaman kegemilangan Khilafah Muawiyah yang berpusat di Damsyik.

Keagungan sejarah di Damsyik menjadi bacaan di kelas-kelas menengah dan di kampus yang mempelajari sejarah Islam.

Rakyat Malaysia secara umum turut mengikuti perkembangan di Syria mutakhir ini dan sebahagian besarnya punya hubungan yang sangat sentimental tentang perjuangan rakyat Syria.

Bagi gerakan Islam di Malaysia peristiwa penyembelihan di Hama tahun 1982 sangat berbekas dan simpati dengan mangsa dan sekaligus mempunyai persepsi yang hitam terhadap regim Al Asad.

Syria bagi rakyat Malaysia khususnya yang terpelajar mengenalinya sebagai Bumi Syam atau Levant dalam Bahasa Inggeris.

Bumi ini mempunyai kaitan langsung dengan kebangkitan Tamadun Islam di kawasan yang hari ini dikenali sebagai Syria, Lebanon, Jordan, Iraq Barat dan Turki Selatan dan Saudi Utara.

Bumi Syam adalah tanah subur yang melahirkan ulamak yang menjadi rujukan antaranya Izzuddin bin As Salam (1181-1262) bergelar Sultan al Ulamak, Imam Al Nawawi nama penuh Abu Zakaria Mohiuddin Yahya Ibnu Syaraf Al Nawawi.

Nawawi diambil dari tempat bernama Nawa di Syria. Bagi ulamak kontemporari nama seperti Said Ramadhan Al Buthi dan Wahbah Al Zuhaili meniti dibibir para asatizah dan pendakwah di Malaysia sebagai rujukan mereka.

Saya yakin, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang yang mencintai ilmu dan ahli siyasah yang berwawasan jauh menilai perkembangan di Syria atas sejarah panjang ini juga, apatah lagi iltizam beliau kepada perjuangan Palestin pastinya terkait dengan melihat peranan Ahmed Ali Sharaa sebagai pemain penting memastikan rantau bergolak itu diurus dengan penuh hikmah dan kepintaran.

Hubungan Malaysia dengan Turkiye dan Negara Arab yang lain pastinya akan membantu Syria dibangunkan dengan semangat ukhuwah dan kemanusiaan.

Negara tidak akan bangun tanpa kesatuan dalaman dan kestabilan politik dan ekonomi.

Malaysia boleh berkongsi pengalaman bagaimana dalam kepelbagaian kaum dan agama, ia mampu menjadi model kepada kestabilan dan kemakmuran.

Penulis yakin pembentukan Syria baharu mengambil kira semua pihak perlu dilibatkan dalam pembangunan yang yang sangat kritikal di saat ini.

Satu konsensus nasional perlu diusahakan melalui perlembagaan baharu yang bersifat inklusif dan progresif.

Jemputan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Ahmed Al Syara’ mempunyai signifikan dalam menghidupkan hubungan bersejarah Malaysia-Syria memandangkan Malaysia dan Syria berkongsi sejarah dan tamadun yang sama dalam membentuk nasib bangsa masing-masing.

Rakyat Malaysia pastinya akan bergembira menyambut kedatangan Presiden Syria baharu untuk memulakan episod baharu dalam dunia yang penuh dengan kompleksiti dan dan ketidaktentuan.