270 Rumah Disahkan Selamat, Operasi Pembersihan Bermula

FOTO BERITA: Sidang Media oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pemulihan Kawasan Putra Heights Wisma Dewan Annexe, Bangunan SUK Selangor. 9hb April 2025. (Rabu)

Sehingga tengah hari ini, sebanyak 270 buah rumah telah disahkan selamat dari segi struktur dan boleh diduduki semula selepas menjalani kerja-kerja pembaikan. Bermula hari ini hingga hujung minggu, pasukan sukarelawan yang diketuai oleh SERVE dengan kerjasama Team Selangor akan memulakan operasi pembersihan menyeluruh di dua kawasan perumahan utama yang terjejas.

Seramai 1,000 sukarelawan dijangka turun padang pada Sabtu dan Ahad ini. Orang awam yang berminat untuk turut serta digalakkan bagi memudahkan penyelarasan dan mengelakkan kesesakan di lokasi kerja

Pejabat Daerah Petaling bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengesahkan 469 keluarga sebagai penduduk yang terkesan secara langsung. Namun begitu, jumlah ini berbeza dengan 613 keluarga yang mendaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), yang termasuk penduduk dari luar kawasan terjejas.

PPS Dewan Camelia yang masih menempatkan 16 keluarga (60 individu) akan ditutup malam ini. Mereka akan dipindahkan ke kediaman sementara jenis ‘homestay’ hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan Airbnb, yang menawarkan penginapan percuma selama sebulan bermula hari ini.

Bagi penduduk di PPS Masjid Putra Heights, pendaftaran ke unit homestay akan bermula malam ini dan dijangka selesai sepenuhnya pada hari Ahad. Setiap keluarga juga akan menerima bantuan barangan asas selama sebulan.

Bagi keluarga yang kehilangan geran rumah akibat kebakaran, Pejabat Tanah dan Galian Selangor akan menggerakkan van bergerak mulai Isnin depan untuk membantu proses pencetakan geran baharu secara percuma kepada pemilik sah.

Satu laluan 30 meter dari kawasan letupan (ground zero) telah ditutup bagi tujuan cerapan teknikal. NADMA mengisytiharkan kawasan seluas 325 meter sebagai kawasan bencana bagi membolehkan agensi terlibat seperti PDRM, JKR, DOSH dan lain-lain menjalankan siasatan serta kerja pemulihan dengan lebih efisien.

Sebagai langkah solidariti dan bantuan tambahan, penjawat awam Kerajaan Negeri akan menyumbang sebahagian daripada gaji bulan ini. Jumlah keseluruhan sumbangan dijangka mencecah RM102,050, merangkumi sumbangan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negeri, Ahli Majlis dan pegawai pentadbiran Gred 48 ke atas.