Erma Fatima cerita drama Bidaah adalah kisah nyata bukan rekaan
Pengarah dan penerbit, Erma Fatima mendedahkan drama Bidaah arahannya adalah berdasarkan kisah nyata yang dialami dirinya sendiri.
Menurut Erma atau nama sebenarnya Fatimah Ramad Ali, dia pernah menyertai sebuah kumpulan agama beberapa tahun lalu yang pada awalnya dilihat menyampaikan ajaran yang baik dan sahih.
Namun segalanya berubah selepas salah seorang pelajar perempuan dari kumpulan agama itu menghubunginya dan mendakwa mereka dicabul tok guru mereka.
“Saya sebenarnya pernah berada dalam kumpulan seperti itu beberapa tahun yang lalu. Apabila saya duduk dalam kumpulan itu, ajarannya, zikirnya betul.
“Dari situ juga saya belajar untuk zikirkan diri saya setiap hari, semua ilmu agamanya sangat sempurna. Sehingga anak-anak jemaah di situ menganggap saya sebagai ibu mereka.
“Anak-anak ini yang masuk nak kenal tuhan, mak ayah hantar ke pondok dalam tu namun satu hari saya dapat panggilan daripada budak perempuan yang menetap di situ memberitahu kepada saya Tok Guru itu telah menidurinya dan bukan hanya dia malah beberapa perempuan lain juga.
“Lillahita’ala ini bukan satu pembohongan,” katanya.
Kata Erma, dia membawa keluar remaja-remaja berkenaan dari tempat itu dan meletakkan Al-Quran di hadapan mereka supaya mereka bercakap benar.
Dia meluahkan rasa kecewa saat mendengar kebenaran itu.
Walaupun tidak mendedahkan lokasi kumpulan jemaah tersebut, Erma berkata ia berlaku di luar kawasan Kuala Lumpur dan mangsa terdiri daripada remaja belasan tahun.
“Mereka berusia 20, 19 tahun. Perkara ini berlaku bukan di Kuala Lumpur namun di luar, Saya bawa keluar mereka semua daripada tempat itu ke rumah letakkan Al-Quran dihadapan mereka untuk mendapatkan kebenaran daripada mereka.
“Menangis saya mendengar…tangisan saya ini kepada guru itu kerana dia telah mendidik kami dengan agama tapi dia melakukan sebaliknya . sebab itu saya menangis, saya tidak berbohong sebab itu saya hasilkan karya itu,” ujar Erma.
Dalam pada itu Erma berkata, naskhah yang dikeluarkannya kali ini sama kali bukan berniat untuk menjatuhkan Islam sebaliknya untuk memberi peringatan kepada ibu bapa agar tidak mudah percaya dengan mana-mana sekolah pondok.
“Saya buat cerita itu bukan nak jatuhkan islam tapi saya nak ingatkan kepada anak-anak muda luar sana, ibu bapa jangan pilih jalan pintas untuk jadikan anak ini baik terus hantar ke sekolah pondok tanpa anda tahu siapa mereka,” katanya lagi.
BACA JUGA Tuan Ibrahim semacam mengaku PN yang bersalah di Kg Sungai Baru