Fury Championship Bakal Gegarkan Zepp KL pada 2 Mei 2025!

FOTO BERITA: Sidang Media “FURY CHAMPIONSHIP” di Hotel Royal Chulan Damansara, Selangor. 10hb April 2025 (Khamis)

Satu malam yang penuh aksi dan adrenalin menanti peminat sukan tempur apabila Fury Championship, kejohanan sukan tempur terbesar di Malaysia, bersiap sedia untuk membuat penampilan sulungnya pada 2hb Mei 2025 bertempat di Zepp Kuala Lumpur dari jam 6:00 ptg sehingga 12.00 tengah malam.

Acara mega yang akan berlangsung dari 6 petang hingga 12 tengah malam ini menjanjikan pelbagai pertarungan mendebarkan melibatkan barisan pejuang profesional, pencabar amatur, pempengaruh terkenal, serta selebriti popular. Gabungan elemen hiburan dan sukan tempur ini dijangka mencetus fenomena baharu dalam arena seni bela diri tempatan.

Diasaskan oleh Wafiy (CEO) dan Jaasuzuran (CMO), Fury Championship merupakan hasil daripada semangat dan visi mereka untuk memartabatkan sukan tempur ke tahap lebih tinggi. Mengambil inspirasi daripada kejohanan antarabangsa seperti ONE Championship, Fury Championship mahu menjadi platform utama yang bukan sahaja mempamerkan pertarungan berkualiti, tetapi juga mengangkat nama pejuang tempatan.

“Matlamat kami adalah untuk merangsang sukan tempur di Malaysia dengan menghimpunkan bakat paling menarik dari pelbagai latar belakang. Sama ada anda peminat tegar atau sekadar mencari hiburan penuh aksi, Fury Championship bakal memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” kata Wafiy.

Jaasuzuran turut menambah, “Ini bukan sekadar malam pertarungan, tetapi sebuah gerakan untuk memperkembangkan sukan ini, memberikan pengiktirafan kepada para pejuang, serta menghadiahkan peminat dengan aksi berkualiti tinggi.”

Dengan gabungan pertarungan berintensiti tinggi dan elemen hiburan yang unik, Fury Championship dijangka mencipta sejarah dan menjadi penanda aras baharu dalam dunia sukan tempur Malaysia. Jangan lepaskan peluang menyaksikan detik bersejarah ini secara langsung!