Harga telur ayam dijangka kekal rendah dalam tempoh sebulan
Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menjangkakan harga telur ayam akan terus rendah dalam tempoh satu bulan sebelum berlaku peningkatan harga semula.
Timbalan Presidennya, Lee Yoon Yeau berkata, harga telur ayam semua gred turun mendadak sejak Ramadan lalu susulan peningkatan dalam pengeluaran tetapi kurang permintaan di pasaran.
Menurutnya, penurunan harga pada tahun ini lebih dahsyat berbanding Ramadan tahun lalu kerana penghasilan telur ayam meningkat 20 peritus.
Jelasnya, ini bermakna hampir 33 juta biji telur ayam dihasilkan setiap hari.
“Kebiasaannya, ketika Ramadan kita akan eksport telur ayam ke Hong Kong, namun tahun ini mereka peroleh bekalan telur dari China dengan harga yang lebih rendah berbanding kita tawarkan,” katanya, lapor Harian Metro.
Oleh sebab berlakunya lambakan, kata Yoon Yeau, pihaknya mengambil keputusan untuk menurunkan harga telur setiap gred sehinggakan sebiji telur gred D hanya pada harga 16 sen, lebih rendah berbanding harga kos 38 sen.
Mengakui golongan penternak sememangnya terjejas, namun katanya, tiada pilihan lain sehingga permintaan terhadap telur ayam kembali seimbang.
“Saya jangkakan harga telur ayam akan terus rendah dalam tempoh satu bulan sebelum berlaku peningkatan harga semula,” tambahnya lagi.
BACA JUGA MB Terengganu mengadu pergerakannya dipantau sepanjang masa