‘Tak semua barang boleh ambil, baik tak payah bagi’, ini nasihat penerima MyKasih SARA

Heboh pula segelintir penerima baharu Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 sebulan bagi isi rumah yang merungut kononnya tidak boleh membeli banyak barang.

Seorang penerima MyKasih SARA sejak tahun lalu tampil menasihatkan golongan terbabit agar belajar untuk bersyukur.

Norashikin Mohd Rusli berkata, kerajaan MADANI lebih mengutamakan pembelian barangan makanan kering bukannya makanan sejuk beku.

“Nak bagitau, RM100 tu kalau beli beras 10 kg, minyak masak 5 kg, tepung, gula, kunyit, garam, biskut, bihun, susu, roti, maggi, telur, sardin habis dah RM 100.

“Kerajaan memang buat lebih kepada barang makanan kering.

“Barang sejuk beku contoh nugget, sosej dan sebagainya tu bukan keperluan utama, sebab tu tidak dimasukkan dalam barang layak MyKasih,” jelasnya.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut mengingatkan bahawa sabun mandi dan syampu rambut boleh saja diambil.

“Barang basah pula kenapa tak boleh? Cuba fikir yang barang kering pun tak cukup RM100.

“RM100 yang dah jimat ambil guna MyKasih tu boleh ‘tarik’ ke barang basah, mudah kan?” ujarnya.

Sehubungan itu, Norashikin menegaskan perkara paling penting bagi 5.4 juta penerima SARA bermula 1 April lalu adalah bersyukur.

“Syukurlah dapat RM100 sebulan tu. Dapatlah juga jimat RM100, ‘kan?

“Sebelum ini mungkin belanja dapur kering basah jumlah RM400. Dapat MyKasih ni dah jimat RM100.

“Jadi, kena keluar RM300 sahaja. RM100 lebihan tu boleh guna ke lain, betul ke tak betul?” kata Norashikin lagi.

BACA JUGA Tuan Ibrahim semacam mengaku PN yang bersalah di Kg Sungai Baru