Lima langkah MITI hadapi tarif Trump, yang kelima terbaik
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz telah mengumumkan lima langkah yang akan diambil oleh kementeriannya untuk menghadapi tarif oleh kerajaan Amerika Syarikat, pimpinan Presiden Donald Trump.
Langkah pertama melibatkan Pusat Tindakan Geokonomi Nasional (NGCC).
“Langkah pertama Pusat Tindakan Geokonomi Nasional (NGCC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri telah pun diaktifkan. MITI sedang membuat kajian impak terhadap sektor-sektor eksport Utama ke Amerika Syarikat.
“NGCC akan pertimbangkan dapatan dan kajian tersebut semasa mesyuarat seterusnya dalam masa terdekat. PM akan pengerusikan mesyuarat pada Isnin, minggu depan,” kata beliau.
Langkah kedua ialah pengumpulan maklum balas dari semua pihak berkepentingan.
“Langkah kedua, MITI sendiri akan bangunkan pasukan petugas task force bagi mengumpul maklum balas dari semua pihak berkepentingan. Ini untuk memastikan eksport dan pelaburan Malaysia tidak terkesan teruk akibat tindakan unilateral Amerika Syarikat. MITI akan berjumpa dengan wakil badan-badan industri dan persatuan pengeksport.
“MITI juga akan terlibat urus dengan kementerian dan agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Kewangan, Bank Negara, MIDA, MATRADE, DOSM dan sebagainya.
“MITI akan ambil pendekatan menyeluruh dalam mempertimbangkan pelbagai pilihan yang ada.
Langkah ketiga di peringkat ASEANialah mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN khas semalam.
Implikasi tarif Amerika Syarikat ke atas aliran perdagangan dan pelaburan serantau telah dibincangkan. Hala tuju ASEAN bagi menangani dan mengurangkan potensi gangguan kepada perdagangan serantau, rantaian bekalan dan aliran pelaburan ke rantau ini akan turut diperhalusi.
Langkah keempat ialah penglibatan strategik peringkat tinggi dengan Amerika Syarikat akan diteruskan dimana Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan Malaysia – AS (TIFA) akan dimanfaatkan.
“MITI akan mempertimbang untuk mengadakan perjanjian perlindungan teknologi untuk melindungi eksport semikonduktor dan aeroangkasa Malaysia.
“Pengecualian sektor akan dirundingkan. Saya bertemu juga dengan Duta Besar Amerika Syarikat. Rundingan seterusnya akan dibuat.
Langkah kelima pula ialah mempelbagai dan meluaskan pasaran eksport Malaysia ke pasaran Timur Tengah, Afrika dan Amerika Selatan.
Penggunaan semua perjanjian perdagangan bebas akan dipertingkatkan.
“Usaha lain FTA termasuk Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) dengan UAE, penyambungan semula rundingan FTA bersama dengan Kesatuan Eropah, Korea Selatan.
“Kita juga naiktaraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Rundingan Malaysia -European Free Trade Association Bersama Iceland, Liechtenstein, Norway dan Switzerland.”