MB Terengganu kecam langkah keselamatan kerana tidak tahu protokol VVIP, dakwa pengkritik
Dakwaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar kononnya beliau diintip untuk kepentingan politik dikecam oleh orang ramai.
Ini kerana, bagi mereka, Samsuri seolah-olah tidak tahu ia adalah prosedur biasa kerajaan untuk menjaga keselamatan VVIP seumpama beliau.
“MB ni tak tahu pasal protokol sebab tu ada satu majlis, ahli lain pakai baju kebangsaan dia pakai baju kurta.
“Apa yang dia tahu, semua orang buat tak betul,” kata Wan Osman, seorang aktivis di Terengganu yang kesal dengan kenyataan Samsuri sebelum ini.

(Samsuri hanya memakai baju kurta ketika bermesyuarat dengan Perdana Menteri ketika semua yang lain berbaju kebangsaan. Ramai yang beranggapan, tindakan beliau ini adalah untuk memperlekehkan Perdana Menteri).
Beliau dipercayai merujuk kepada tindakan Samsuri yang hanya memakai baju kurta (gambar atas) semasa bermesyuarat dan mengiringi Perdana Menteri yang melawat Terengganu ketika semua yang lain memakai baju kebangsaan.
Wan Osman mengulas tindakan Samsuri yang mengkritik tindakan pihak keselamatan yang sentiasa memantau pegerakan beliau termasuk ketika beliau mahu keluar negara.
Seorang lagi aktivis pula berkata, TCO tidak menyekat kebebasan pergerakan MB itu.
“TCO tidak menyekat kebebasan MB. Buktinya MB masih boleh pergi ke Auckland ketika banjir, pergi ke Paris menonton Olimpik dan pergi ke London untuk buat talk di kedai mamak,” katanya.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tiada keperluan untuk mengintip pergerakan Menteri Besar Terengganu itu.
Katanya, ini kerana pemimpin Pas itu sentiasa didampingi polis.
“Sebagai menteri besar, pergerakan beliau ditemani seorang pegawai polis untuk tujuan keselamatan pada sepanjang masa.
“Tiada keperluan ‘spy’ beliau kerana polis memang sentiasa bersamanya,” kata Saifudin yang dipercayai merujuk kepada seorang bodyguard dari pasukan polis yang sentiasa bersama seorang VVIP seperti Samsuri.
Dalam kenyataan medianya semalam, Samsuri mendakwa beliau telah dikawal umpama seorang penjenayah.
“Saya telah dilabel dan ditandai sebagai “TCO” dalam sistem kawalan sempadan, oleh satu pihak cawangan khusus. Seolah-olah saya ini adalah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan satu sindiket dan gangster, atau persona non grata – di tanah air saya sendiri.
“Sudah tentu saya sangat kecewa dengan keadaan ini. Ia bukan sekadar label, tetapi saya di “tahan” dan dibawa ke tepi, satu panggilan akan dibuat dan perlu mendapat persetujuan satu cawangan khusus sebelum dibenarkan keluar dari kawalan sempadan, untuk setiap kali keluar-masuk sempadan, walaupun sekadar ke Sabah dan Sarawak sejak suku ketiga tahun 2024.
“Penyalahgunaan sumber kerajaan sebagai senjata politik seperti ini – satu trend yang merosakkan kebebasan peribadi dan merubah struktur negara yang sepatutnya bersifat adil,” kata Samsuri dalam kenyataan itu.
BACA JUGA Ayer Kuning, persiapan jentera AMANAH yang terbaik