Jemaah haji ke Tanah Suci, tolong buat ini, kata timbalan menteri
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan mengingatkan jemaah haji agar menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah haji dan ‘berpuasa media sosial’.
Ini kerana panggilan haji adalah jemputan istimewa daripada Allah SWT kepada hambanya yang terpilih sahaja.
Seruan untuk berpuasa media sosial dibuat ekoran kecenderungan sesetengah jemaah yang kerap memuat naik kandungan, termasuk berswafoto di hadapan Kaabah dan bersiaran langsung.
“Saya menasihati semua bakal Duyufurrahman tahun ini agar memfokus sepenuhnya kepada pengagungan Allah SWT, dan bukan ‘mengagungkan diri sendiri’ demi populariti melalui jumlah ‘likes’ atau ‘viewers’ dalam media sosial,” katanya, lapor Bernama.
Turut ditekankan ialah maqasid haji iaitu keikhlasan beribadah kerana Allah SWT. Rasulullah SWT sendiri berdoa agar ibadah hajinya tidak terpalit dengan riak dan sum’ah.